Melaka sedia jadi lokasi taman tema Upin&Ipin

Adly (tengah) dan Burhanuddin (sebelah) ketika menyempurnakan karnival Upin&Ipin 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Adly (tengah) dan Burhanuddin (sebelah) ketika menyempurnakan karnival Upin&Ipin 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka sedia mempertimbangkan untuk menjadi lokasi bagi merealisasikan taman tema Upin & Ipin oleh Syarikat Les' Copaque Production Sdn Bhd.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, syarikat berkenaan boleh membuat penilaian berdasarkan kehadiran pelancong ke negeri berkenaan yang mempunyai pelbagai produk pelancongan.

Menurutnya, Upin & Ipin sudah terbukti sebagai animasi hebat dan perancangan taman tema itu bertepatan dengan dasar kerajaan negeri untuk menyediakan lebih banyak produk pelancongan.

"Kita mencadangkan Upin & Ipin dapat dijadikan produk pelancongan di Melaka. Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan kerjasama untuk menjenamakan Upin & Ipin sebagai salah satu tarikan di Malaysia khusus di Melaka.

"Kita akan berbincang secara strategik supaya taman tema ini menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Karnival Upin&Ipin 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri, Zairi Suboh dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Adly berkata, kerajaan negeri perlu berbincang mengenai kosnya iaitu kira-kira RM700 juta.

"Kita fikirkan dulu kerana pelaburannya bukan sedikit dan yang nak dibina itu 'indoor' jadi tempatnya perlu strategik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, Karnival Upin&Ipin 2019 yang berakhir Ahad ini dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 10 malam.