125 mangsa banjir dipindah di Kuala Krai

Hujan yang berlarutan sepanjang hari ini menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Krai dinaiki air.
Hujan yang berlarutan sepanjang hari ini menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Krai dinaiki air.
A
A
A

KUALA KRAI - Jumlah mangsa banjir di Kuala Krai terus meningkat apabila 125 orang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang mula dibuka hari ini.

Seramai 83 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang manakala 42 lagi di Kemas Kampung Kuala Pertang.

PPS SK Chenulang dibuka sejak pagi tadi manakala PPS di Kampung Kuala Pertang dibuka pada sebelah petang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, sehingga jam 6 petang, paras air di sungai utama iaitu di Tangga Krai, Sungai Lebir dan Sungai Galas Dabong masih di bawah paras bacaan.

Katanya, kesemua mangsa dipindahkan dengan bantuan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Keadaan arus di Lata Rek, Kuala Krai.
Keadaan arus di Lata Rek, Kuala Krai.

"Sehingga jam 6 petang, tiga jambatan yang dinaiki air iaitu Jambatan Kuala Pertang, Jambatan Sungai Mas dan Jambatan Kampung Belanga ditutup untuk semua kenderaan.

"Hujan yang berlarutan sepanjang hari ini menyebabkan Kampung Sungai Mas, Bechah Salak dinaiki air termasuk kawasan masjid Chenulang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suzaimi menasihatkan penduduk supaya melaporkan sebarang kejadian di kawasan mereka sekiranya air mulai naik dan segera berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini.