Dua PPS dibuka, 26 mangsa banjir di Kuala Krai

Hujan yang berlarutan sejak Rabu lalu menyebabkan enam kawasan di daerah ini mula ditenggelami air.
Hujan yang berlarutan sejak Rabu lalu menyebabkan enam kawasan di daerah ini mula ditenggelami air.
A
A
A

KUALA KRAI - Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 26 mangsa banjir di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, dua PPS berkenaan adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang, menempatkan dua keluarga dan Kemas Kampung Kuala Pertang seramai lima keluarga.

Katanya, kesemua mangsa iaitu 12 di PPS SK Chenulang dan 14 di Kemas Kuala Pertang, mula dipindahkan pada hari ini apabila kawasan kediaman mereka mula ditenggelami air.

"Hujan yang berlarutan sejak Rabu lalu menyebabkan enam kawasan di daerah ini mula ditenggelami air termasuk kawasan kampung, jalan utama, kawasan masjid dan jambatan.

"Kampung yang dinaiki air adalah Sungai Mas, Bechah Salak dan kawasan Masjid Chenulang manakala jalan utama yang ditenggelami air adalah Jalan Kampung Bedal.

"Sehingga kini, tiga jambatan terlibat iaitu Jambatan Kuala Pertang Keroh, Jambatan Sungai Mas dan Jambatan Kampung Belanga," katanya.

Tambah Suzaimi, sehingga jam 3 petang, hujan masih renyai-renyai dan paras air di tiga sungai utama, Tangga Krai, Sungai Lebir dan Sungai Galas Dabong masih di bawah paras bacaan.

Artikel Berkaitan: