Jangan panik usaha sama nadir bumi, kata MB

Laporan Sinar Harian Online semalam. Gambar kiri: Ahmad Faizal
Laporan Sinar Harian Online semalam. Gambar kiri: Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Semua pihak diminta tidak panik dengan usaha sama dijalankan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dengan sebuah syarikat China mengenai nadir bumi di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Chinalco GXNF Rare Earth Development Co Ltd itu lebih kepada eksplorasi untuk mengenal pasti sumber-sumber mineral yang ada.

"Apa yang sedang dilakukan ini adalah untuk tujuan eksplorasi untuk kita tahu apa yang ada dalam bumi, setelah itu kita akan kaji apakah ia ekonomikal dan mendatangkan faedah kepada rakyat dan negeri ini.

"Bukan mudah untuk kita tandatangan MoU hari ini dan esok dah boleh sebutkan mengenai sumber-sumber dalam bumi, kerana itu kita perlukan eksplorasi, jadi semua pihak jangan panik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perak SADC Agrofest 2019 di sini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan Perak sentiasa terbuka menerima cadangan daripada semua pihak untuk membangunkan negeri bagaimanapun, tidak bermakna ia dipersetujui untuk dilaksanakan.

"Sesiapapun yang datang beri cadangan, kita sentiasa mendengar. Samalah seperti loji penapisan minyak di Segari, ada yang kata kerajaan akan buat sedangkan kita hanya terima cadangan, bukan setuju untuk buat," katanya.

Semalam, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil menuntut kerajaan Perak memberhentikan dan tidak memulakan sebarang aktiviti berkaitan dengan eksploitasi nadir bumi di negeri itu.

Sebelum ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan rasa terkejut dengan persetujuan kerajaan Perak dan Persekutuan bersama syarikat China tersebut yang didakwa akan menjadi langkah pertama untuk perlombongan nadir bumi di Perak.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dalam satu kenyataan pula memaklumkan pemeteraian MoU terbabit masih di peringkat awal iaitu menggunakan kepakaran pihak China dalam mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak khususnya jenis lempung jerapan ion (ion adsorption clay) yang tidak mengandungi thorium mahupun uranium sebagai sisa sampingan.