Terengganu dilanda banjir, 283 mangsa dipindahkan

Keadaan jalan yang dinaiki air di Kampung Hulu Seladang, Setiu. - Foto Ihsan APM
Keadaan jalan yang dinaiki air di Kampung Hulu Seladang, Setiu. - Foto Ihsan APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Dua daerah di negeri ini iaitu Besut dan Setiu mula dilanda banjir ekoran peningkatan paras air sungai akibat hujan berterusan melanda negeri ini sejak tiga hari lalu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman, berkata, sehingga jam 2 petang tadi, sebanyak empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan seramai 283 mangsa banjir daripada 69 buah keluarga.

Katanya, pusat pemindahan terlibat ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang, Dewan terbuka Belaoh dan Masjid Kampung La di Besut manakala sebuah lagi di Surau Kampung Hulu Seladang, Setiu.

“PPS di SK Felda Tenang dibuka jam 9 pagi ini bagi menempatkan seramai 24 mangsa daripada lapan buah keluarga manakala PPS Surau Kampung Hulu Seladang dibuka jam 12.30 tengah hari ini bagi menempatkan seramai 41 mangsa daripada 19 buah keluarga.

“Dewan Terbuka Belaoh dan Masjid Kampung La dibuka sekitar jam 2 petang ini dan proses pemindahan masih dijalankan berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu berkata, keadaan banjir yang berlaku hari ini melibatkan fasa ketiga bencana banjir dan penduduk di kawasan yang berisiko dinaiki air diminta berjaga-jaga.

“Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air di lima sungai di negeri ini telah melebihi paras merbahaya menerusi maklumat yang dikemas kini jam 2 petang tadi.

Sungai Setiu di Kampung Besut mencatatkan bacaan pada paras 17.88 meter (m), Sungai Besut di Kampung La (24.23m); Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.54m); Sungai Dungun di Kuala Jengai (21.02m) dan Sungai Chalok di jambatan Chalok, Setiu (8.76m).

Dalam perkembangan sama, Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada di mana hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin), Johor (Mersing, dan Kota Tinggi) sehingga 2 Disember depan.