30 tahun guna air perigi

Sebuah rumah yang kecil namun didiami lebih satu keluarga di Kampung Orang Asli Tebong Stesyen.
Sebuah rumah yang kecil namun didiami lebih satu keluarga di Kampung Orang Asli Tebong Stesyen.
A
A
A

ALOR GAJAH - Lebih 30 tahun masyarakat orang asli di Tebong Stesyen mengalami masalah bekalan air bersih selain kekurangan rumah serta kemudahan asas lain.

Penduduk, Arif Bangkoh,40, berkata, dia terpaksa mendapatkan bekalan air di perigi dengan jarak lebih satu kilometer bagi kegunaan harian termasuk memasak.

Katanya, bukan itu sahaja, kebanyakan penduduk juga terpaksa mendiami sebuah rumah satu bilik dan diduduki tiga buah keluarga dalam keadaan sempit disebabkan tiada rumah.

"Harap kerajaan baharu lebih prihatin. Jangan hanya datang jenguk kami bila hampir Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja kemudian pinggirkan kami semula.

"Sampai bila terpaksa guna air perigi pun saya tak tahu. Memang menyukarkan dan keadaan rumah juga semakin daif untuk baiki sendiri memang saya tak mampu," katanya.

Zul Dulah,25, pula berkata, kemudahan asas di kampung ini perlu dinaik taraf dan diperbaiki.

"Ketiadaan kawasan pembuangan sampah menyebabkan sampah sarap bertaburan di tepi jalan selain kesukaran menikmati kemudahan jalur lebar," katanya.

Sementara itu Tok Batin Tebong Stesyen, Besi Dulah, 38, mengakui kekurangan kemudahan asas di kampung berkenaan dan banyak rumah penduduk yang telah uzur tidak dibaik pulih sehinggakan penduduk tinggal dalam kegusaran dengan bumbung yang bocor dan naif.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mengenai keperluan asas seperti air bersih, beliau telah memanjangkan kepada pihak berkenaan dan berharap permohonan itu dapat disegerakan.

"Kita harap nasib masyarakat orang asli di sini terus dibela," katanya.