Cadang tarikh PRU diumum lebih awal, tiada perang poster

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penetapan tarikh pilihan raya umum (PRU) lebih awal dan pemansuhan perang poster merupakan antara cadangan penambahbaikan sistem pilihan raya negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, cadangan berkenaan merupakan antara 15 perkara yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada akhir Disember ini.

Menurutnya, terdapat negara-negara maju hari ini telah menetapkan tarikh pilihan raya lebih awal supaya rakyat mereka lebih bersedia untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Cadangan berhubung penetapan tarikh pilihan raya ini supaya bukan sahaja parti politik dapat bersedia, malah juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Jadi kita akan tentukan satu peraturan sekurang-kurangnya enam atau sembilan bulan ditetapkan tarikh pilihan raya," katanya dalam Program Majlis Makan Malam Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya di sini malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai poster calon pula, Abdul Rashid berkata, situasi perang poster setiap kali berlangsungnya pilihan raya kemungkinan tiada lagi pada pilihan raya akan datang.

"Memang itu ada dalam agenda kita, Insya- ALLAH kalau kerajaan terima cadangan ini, pilihan raya akan datang tiada lagi perang poster.

"Kita memang ke arah itu kerana tidak perlu mengotorkan alam sekitar dengan poster-poster calon. Selain itu, parti dan calon bertanding tidak perlu lagi mengeluarkan dana untuk membayar deposit dan kos poster, ini merugikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ab Rashid yang merupakan bekas Pengerusi SPR berkata, laporan interm ERC yang menyenaraikan pelbagai cadangan bagi memperbaiki sistem pilihan raya negara ini kini telah lengkap dan ia merupakan antara usaha untuk menjadikan SPR sebagai badan bebas dan lebih berkuasa dalam menguruskan proses demokrasi pilihan raya.

Selain Ab Rashid, program anjuran Akademi Kepimpinan dan Pengurusan (AKP) tersebut menampilkan tiga lagi panelis iaitu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Kasnon; Ahli Dewan Negara, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Shahrom.