Dua sungai di Terengganu melebihi paras bahaya

Keadaan jalan dinaiki air di Kampung Padang, Setiu yang dirakam petang semalam. - Foto ihsan Angkatan Pertahanan Awam (APM)
Keadaan jalan dinaiki air di Kampung Padang, Setiu yang dirakam petang semalam. - Foto ihsan Angkatan Pertahanan Awam (APM)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Paras air bagi dua sungai di Terengganu iaitu Sungai Besut di Kampung La, Besut dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu melebihi paras bahaya.

Menurut laporan Infobanjir.water.gov.my yang dikemaskini jam 9.15 pagi ini, Sungai Besut di Stesen Jambatan Keruak Besut berada pada paras 22.27 meter (m) manakala Sungai Nerus pula mencatatkan bacaan 21.22m.

Beberapa sungai lain seperti Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu mencatatkan paras air 17.58m melebihi paras amaran.

Tiga sungai lagi di Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu berada pada paras berjaga-jaga.

Aras air bagi Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja mencatatkan bacaan 36.32m, Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu berada pada paras 18.31m manakala Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu berapa pada paras 7.34m.

Paras air bagi jambatan Permaisuri, Setiu pula berada pada bacaan 7.97m iaitu pada tahap berjaga-jaga.

Beberapa rumah dinaiki air di Felda Tenang, Besut yang dirakam jam 7 pagi tadi. - Foto ihsan Angkatan Pertahanan Awam (APM)
Beberapa rumah dinaiki air di Felda Tenang, Besut yang dirakam jam 7 pagi tadi. - Foto ihsan Angkatan Pertahanan Awam (APM)

Dalam pada itu, sehingga jam 11 malam tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu turut melaporkan, dua jalan iaitu Jalan Kampung Bukit di Kg Alur Lik dan Jalan Permaisuri di Hulu Seladang ditutup kepada semua kenderaan ringan.

Artikel Berkaitan:

Laluan bagi Jalan Kampung Bukit dinaiki air setinggi 0.6 meter manakala laluan di Jalan Permaisuri/Hulu Seladang dekat Kampung Besut, Setiu dinaiki air sedalam 0.4m.

Ketua sekretariat, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran kuning atau waspada untuk kawasan Utara Terengganu iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut bermula 27 hingga 30 November.

“Keadaan hujan lebat berlaku sejak semalam namun tidak berpanjangan dan beberapa kawasan di Hulu Setiu mengalami paras kenaikan sungai," katanya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu kini giat memantau keadaan sekitar kawasan penempatan terutama berhampiran sungai serta kawasan berisiko banjir supaya langkah segera dapat diambil termasuk memindahkan penduduk sekiranya berlaku banjir.