Kuasai bahasa Inggeris: Warga pendidik perlu terus main peranan

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA NERUS - Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan warga pendidik agar terus memainkan peranan dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang menguasai bahasa Inggeris.

Perdana Menteri berkata, peranan guru amat besar dan penting dalam membentuk dan menentukan ‘jenis’ manusia yang menjadi warganegara Malaysia pada masa hadapan, dan lantaran itu kerajaan memberi tumpuan serius dalam bidang pendidikan

“Janganlah jadikan ini sebagai satu isu politik untuk menidakkan penguasaan ilmu hanya kerana kepentingan politik mana-mana pihak. Kita perlu kuasai bahasa Inggeris dan saya harap warga pendidik akan utamakan penguasaan ini kerana ia adalah bahasa ilmu untuk sains dan teknologi.

“Pendidikan sekarang akan berubah sedikit supaya kita akan dapat lebih banyak manfaat daripada (sistem) pendidikan di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis bersama warga pendidik negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta 1,000 warga pendidik.

Majlis itu merupakan program pertama Dr Mahathir yang melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu hari ini.

Lawatan Perdana Menteri ini adalah yang pertama selepas kerajaan PH memenangi PRU14, Mei lepas.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan memperkenalkan sistem pendidikan yang lebih terarah kepada program membentuk rakyat lebih berwibawa dan mampu memajukan Malaysia dengan lebih pesat daripada dahulu dan sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Dasar pendidikan kita bukan sahaja untuk memberi ilmu tetapi juga untuk membentuk peribadi yang baik. Untuk ini, kita perlu tumpu ajaran agama kita (Islam)... tentang apa nilai hidup yang perlu dipegang dalam Islam. Saya harap semua anggota warga pendidik akan ambil tumpuan perkara ini.

“Kita akan ubah kurikulum dalam sekolah-sekolah supaya tumpuan diberi penguasaan ajaran Islam yang sebenar, penguasaan bahasa Inggeris dan penguasaan sains serta teknologi....dengan ini kita fikir kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, kerajaan pimpinan PH kini giat memulih serta memajukan negara supaya lebih baik dari dahulu malah dalam usaha ke arah itu, bidang pendidikan akan diberi keutamaan.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, kerajaan pusat sentiasa bersedia untuk menjalin hubungan baik dengan kerajaan negeri Terengganu demi kepentingan rakyat.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri semasa berucap berkata, kunjungan Dr Mahathir adalah cerminan hubungan proaktif antara negeri dan persekutuan yang akan terus diperkukuhkan bagi pembangunan wilayah yang seimbang.

"Kerajaan Terengganu sangat menghargai komitmen dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang meneruskan beberapa projek di bawah Rolling Plan Yang Ketiga (RP3) dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

"Terima kasih kami ucapkan atas keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan lapan projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), memperkasakan inisiatif pembangunan wilayah ekonomi Pantai Timur termasuklah mempertimbangkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada skala yang munasabah,” katanya.

Ahmad Samsuri menyifatkan kerjasama itu adalah satu langkah permulaan ke arah permuafakatan dan kerjasama yang lebih erat di masa hadapan untuk menjadi pemangkin ke arah Terengganu lebih berdaya saing serta melengkapkan sasaran Malaysia sebagai pemain ekonomi global. - Bernama