AMK tamatkan jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi Tetap

Kongres Nasional PKR ke-13 tahun lalu diadakan di IDCC Shah Alam.
Kongres Nasional PKR ke-13 tahun lalu diadakan di IDCC Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Krisis kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memasuki episod baharu kali ini apabila jawatan Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhamad Mizan Adli Mohd Nor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad ditamatkan menjelang Kongres Kebangsaan PKR.

Perkara itu didedahkan menerusi surat ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak kelmarin dengan mengemukakan alasan penamatan dibuat kerana umur kedua-dua pemimpin itu telah melebihi 35 tahun seperti ditetapkan parti.

Selain itu, surat tersebut menyebut pengiraan pemilihan kedua-dua jawatan dibuat secara manual dan mendapati mereka menerima jumlah undi lebih tinggi daripada jumlah perwakilan yang layak mengundi.

Sementara itu, Muhamad Mizan dan Mohd Ramly dalam kenyataan bersama memaklumkan mahu penjelasan terperinci mengapa mereka dipecat dan menegaskan pemilihan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap sewajarnya diusulkan sewaktu kongres berlangsung.

“Hal ini juga telah melanggar Perkara 5.1 dan 5.3 peraturan parti di mana usia Pengerusi Tetap tidak terbatas hanya pada umur 35 tahun ke bawah atau dengan kata lain daripada had umur AMK. Perenggan 4.1 juga memberitahu Pemilihan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan bukan Ketua AMK.

“Selain itu, perenggan 42 dan 43 menyebut undi tidak termaktub ahli yang hanya boleh mengundi sekali sahaja, maka adalah logik jumlah bahawa undian tinggi kerana ia dilakukan di dalam dewan dalam keadaan yang tidak teratur oleh JPP,” kata mereka.

Sehubungan itu, Muhamad Mizan dan Mohd Ramly masing-masing mendesak agar Biro Politik Pusat PKR menyiasat perkara itu dengan profesional kerana ia melibatkan status sah di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Artikel Berkaitan:

Mohd Ramly dan Muhamad Mizan Adli
Mohd Ramly dan Muhamad Mizan Adli

“Kita tidak mahu PKR juga bakal diharamkan seperti UMNO dan kami sekali lagi tidak teragak-agak untuk bangkitkan isu ini di media massa jika suara akar umbi tidak didengari.

“Kami dipilih oleh akar umbi dan sewajarnya keputusan diserahkan kepada mereka dan bukan kepimpinan jumud dan sempit yang pincang ideologi asal PKR,” ujar kedua-dua pemimpin AMK itu.

Keputusan penamatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perselisihan isu perasmi Kongres Nasional AMK yang kebiasaannya dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Namun sebaliknya kali ini disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun tindakan itu dibantah oleh 21 pimpinan sayap parti termasuk timbalan ketuanya, Hilman Idham.

Minggu lalu, PKR memecat serta-merta Ketua PKR Cabang Bera yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid dan seorang lagi ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi akibat salah laku rasuah dan suapan ketika pemilihan parti tahun lepas.

Pemecatan itu berlaku ketika isu antara kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin didakwa semakin panas.Kongres AMK dijadualkan berlangsung pada 6 Disember depan di Melaka International Trade Centre (MITC).