Anggota haiwan hasil pemburu haram dirampas

Mazlan (dua dari kanan) sedang berbincang dengan wakil agensi berkaitan dengan Operasi Bersatu Khazanah.
Mazlan (dua dari kanan) sedang berbincang dengan wakil agensi berkaitan dengan Operasi Bersatu Khazanah.
A
A
A

SEPANG - Beberapa bahagian anggota hidupan liar seperti gading, tanduk rusa dan kulit haiwan dianggarkan bernilai RM240,000 dipercayai hasil aktiviti pemburuan haram dirampas dalam serbuan di empat premis di Sungai Petani, Kedah dan Pasir Mas, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, empat individu yang dipercayai terlibat aktiviti pemburuan haram itu turut diberkas dalam operasi dijalankan pada 19 November lalu.

"Operasi Bersepadu Khazanah oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut merampas lima buah kenderaan mewah yang dipercayai hasil daripada aktiviti pemburuan haram.

"Pasukan AMLA telah membekukan 13 akaun bank suspek berusia 40-an dan ahli keluarga mereka.

"Jumlah pembekuan dan penyitaan sebanyak RM1.58 juta," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah di sini tadi.

Beliau memaklumkan, tiga daripada suspek telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun.

Katanya, Operasi Bersatu Khazanah telah mencapai kejayaan besar apabila menahan 64 orang dan memusnahkan sebanyak 359 unit jerat dalam 31 kes tangkapan sejak 11 September hingga 16 November.

Artikel Berkaitan: