Kelantan sasar 5.5 juta pelancong sempena TMK 2020

Md Anizam (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pra pelancaran TMK 2020 di Dataran Rehal hari ini.
Md Anizam (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pra pelancaran TMK 2020 di Dataran Rehal hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan menyasarkan sebanyak 5.5 juta pelancong bakal mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2020 bertemakan Keluarga, Makanan dan Festival.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri, Mejar Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, jumlah tersebut mampu dicapai memandangkan terdapat banyak tarikan di negeri ini untuk menarik pelancong dari dalam dan luar berkunjung ke Kelantan.

"Berdasarkan statistik juga sehingga Oktober, sebanyak 3.45 juta orang mengunjungi negeri Kelantan yang mana 3,139,342 orang adalah pelancong tempatan manakala 305,048 antarabangsa.

"Melihat kepada statistik tersebut, kita yakin mampu melonjakkan angka tersebut dengan mengambil pelbagai langkah dan inisiatif ke arah menarik pelancong ke negeri ini," katanya hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Pra Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 yang diadakan di Dataran Rehal di sini.

Selain itu, Md Anizam berkata, semua pihak perlu mengambil peluang untuk menarik seramai mungkin pelancong asing yang datang ke Malaysia agar berkunjung ke Kelantan.

Katanya, dengan keunikan dan keistimewaan negeri ini yang menjunjung dasar Membangun Bersama Islam, ia bukan misi mustahil untuk Kelantan menjadi pemain utama dalam bidang pelancongan Islam.

"Kepelbagaian warisan, tempat bersejarah, kawasan peranginan dan juga variasi makanan yang ada dapat menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara. Ia sesuai untuk dikunjungi oleh semua segmen pelancong," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelbagai lokasi menarik untuk membeli-belah seperti Pasar Siti Khadijah, Bazar Siti Aisyah, Bazar Tok Guru, dua pasar terapung iaitu di Kampung Suri, Tumpat dan Pengkalan Datu, Kota Bharu mampu dijadikan tarikan.

"Kelantan juga mempunyai pelbagai masjid menarik seperti Masjid Negeri iaitu Masjid Muhammadi, Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah, Masjid Kampung Laut, Institusi Pengajian Pondok dan lain-lain untuk dikunjungi.

"Kita juga kaya dengan lokasi ekopelancongan seperti lokasi pantai, gunung-ganang, jeram, air terjun, tasik dan sebagainya. Semua ini jika dimanfaatkan secara optimum boleh menjadi antara 10 lokasi pelancongan Islam paling menarik di Malaysia bahkan di dunia," katanya.

Dalam pada itu, Md Anizam memberitahu, sebagai persediaan untuk memastikan keseronokan pelancong yang berada di negeri ini tidak terbantut, pihaknya telah melakukan pelbagai penambahbaikan kemudahan termasuk juga aspek kebersihan.