Haram potong kuku, potong rambut ketika hadas besar?

A
A
A

"JANGAN potong kuku atau rambut semasa sedang haid. Tak boleh buat begitu sebab kita dalam keadaan tidak suci."

Begitulah kata-kata yang sering 'dimainkan' oleh segelintir orang di sekeliling kita.

Kedengarannya seperti tidak logik.

Namun, jika ia melibatkan perkara yang berkaitan agama, adakalanya terbit rasa waswas dalam diri.

Bolehkah memotong kuku dan rambut ketika berhadas besar terutamanya kaum Hawa?

Apakah pandangan agama mengenai perkara tersebut?

Fahamilah bahawa asal hukum memotong rambut bagi wanita adalah diharuskan selagi mana tidak menyerupai potongan rambut lelaki atau potongan menyerupai wanita kafir dan Musyrik.

Hal itu sepertimana terdapat larangan dalam hadis-hadis yang sahih seperti riwayat al-Bukhari dan Abu Dawud.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, terdapat riwayat dalam sahih Muslim, isteri-isteri baginda Nabi Muhammad SAW pernah memotong rambut hingga tidak melebihi panjangnya dari bahagian telinga.

Berdasarkan hadis itu, sebahagian ulama seperti Imam al-Nawawi, Qadi ‘Iyadh mengharuskan memotong rambut bagi wanita lebih-lebih lagi ada hajat dan keperluan.

Adapun, hukum memotong rambut dalam keadaan haid dan selepas bersalin, ia diperselisihkan oleh para ulama khususnya dalam Mazhab Syafie.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihyaulumiddin menyatakan, hukumnya makruh atau hampir kepada haram.

Sementara itu, Imam al-Qalyubi menyatakan, hukumnya adalah harus kerana rambut dan kuku jika kembali kepada jasad di akhirat kelak nescaya kelihatan tidak sempurna kerana panjangnya kuku dan rambut itu.

Pandangan harus diperkuatkan lagi dengan pandangan beberapa ulama moden seperti Sheikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudah, bekas Mufti Jordan dan demikian juga pendapat Sheikh Mustafa al-Adawi, seorang ulama besar di Mesir.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.