“Universiti untuk Masyarakat” Agenda Penting Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia Demi Kelangsungan Negara

Warga penduduk Pulau Tanjung Surat menyerahkan hasil tanaman kepada Dr Maszlee yang telah diusahakan bersama pakar dari UTM sempena pelancaran projek Pembangunan Komuniti, Eko Warisan Pelancongan di Pulau Tanjung Surat (PTS), sebuah projek komuniti UTM bagi mensejahterakan masyarakat di sana. Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar (tiga dari kanan) bersama warga penduduk dan pengurusan tertinggi UTM.
Warga penduduk Pulau Tanjung Surat menyerahkan hasil tanaman kepada Dr Maszlee yang telah diusahakan bersama pakar dari UTM sempena pelancaran projek Pembangunan Komuniti, Eko Warisan Pelancongan di Pulau Tanjung Surat (PTS), sebuah projek komuniti UTM bagi mensejahterakan masyarakat di sana. Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar (tiga dari kanan) bersama warga penduduk dan pengurusan tertinggi UTM.
A
A
A

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memainkan peranan dalam pelbagai inisiatif bagi mensejahterakan masyarakat selari dengan aspirasi Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dr Maszlee Malik yang menekankan tiga nilai dan budaya teras yang ingin dibina bersama, iaitu: cinta atau kasih sayang (love), kegembiraan atau kebahagiaan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect).

Nilai teras ini telah lama menjadi amalan warga universiti dan UTM terus komited untuk meneruskan agenda tersebut walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Dalam memastikan UTM berfungsi sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang mampu memberikan impak kepada masyarakat dan negara, universiti ini telah pun mengamalkan dasar keterlibatan masyarakat dari semua lapisan peringkat.

Sehubungan itu, aspirasi ini diperkukuhkan lagi dengan pelbagai inisiatif universiti yang telah dilaksanakan seperti berikut:

  1. UTM mensejahterakan kehidupan

UTM melalui idea Penyelidikan Translasional berusaha memanfaatkan komuniti dengan mengaplikasikan hasil kajian dan penyelidikan yang memanfaatkan komuniti global. Universiti menggariskan agar pensyarah bukan sahaja berkhidmat sebagai pendidik malah hasil penyelidikan tersebut digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat terutamanya mereka yang memerlukan seperti melalui Program Pembangunan Sosial Masyarakat (CSR).

Setiap insiaitf CSR yang dijalankan adalah berpaksikan lima fokus utama iaitu Peningkatan Pendidikan, Penaiktarafan Kehidupan, Keusahawanan Sosial, Pembangunan Kapasiti dan Kelestarian Alam Sekitar. Setiap fokus digariskan demi memacu dan memastikan setiap CSR adalah benar-benar berimpak dan menepati keperluan masyarakat.

Terdapat 13 Projek Komuniti yang berimpak tinggi dan antaranya ialah:

  • Pembelajaran Berasaskan Masalah dalam Pendidikan STEM untuk Membangunkan Kemahiran Abad ke-21 dan Kesedaran Terhadap Karbon Rendah
  • Aplikasi Hafazan Al-Quran bagi Pelajar yang Mempunyai Permasalahan Pendengaran
  • Pembangunan Usahawan Wanita dalam Sektor Pelancongan
  • Program Rejuvenasi Komuniti Flat Bandar Bukit Puchong
  • Aplikasi Mikroorganisma Berkesan bagi Pengurusan Sisa Makanan
  • Program Bangsa Johor Sejahtera
  • Projek Bangsa Johor Bahagia
    • Program Komuniti Berjaya
    • Program Fasiliti Komuniti Sejahtera
    • Program Kejiranan Lestari
    • Program Komuniti Digital Beretika

Menurut Menteri Pendidikan, untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu, pendidikan ialah titik mulanya dan untuk melahirkan masyarakat yang demokratik, bermoral, beretika dan penyayang, pendidikan ialah terasnya.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, dengan berpandukan Pelan Global Universiti Fasa III: 2018-2020, UTM mendukung aspirasi ini dan memikul tanggungjawab dan peranan besar sebagai institusi pendidikan tinggi demi membantu membina masyarakat yang maju untuk kelangsungan negara.

Ini kerana pensyarah dan pendidik pada ketika ini tidak hanya terbatas dengan tugasan mendidik, malah dengan mengaplikasikan penyelidikan serta kepakaran untuk membantu menyelesaikan permasalahan masyarakat adalah jauh lebih bermakna.

  1. Pembelajaran Sepanjang Hayat

Menteri Pendidikan pernah juga mengutarakan konsep pembelajaran yang baik perlu bercirikan sepanjang hayat dan menyokong ke arah era Revolusi Industri 4.0. Rakyat dan komuniti berpeluang meningkatkan kemahiran serta pengetahuan melalui pembelajaran yang boleh berlangsung secara dalam talian dan berbentuk fleksible. Ini bukanlah perkara baru di UTM dan UTM sememangnya berhasrat untuk meneruskan agenda pembelajaran sepanjang hayat.

UTM telah melopori Pendidikan Transnasional dengan model pendidikan tanpa sempadan yang dilaksana di luar negara. Ini bersesuaian dengan konteks globalisasi pendidikan tinggi di mana UTM telah mewujudkan sebuah pusat pembelajaran transnasional dengan kerjasama Qaiwan Universiti di Kurdistan. Ini adalah salah satu usaha UTM untuk terus memberikan pembelajaran yang berkualiti bukan hanya kepada masyarakat tempatan malah kepada masyarakat antarabangsa dan global.

Di samping itu, mobiliti pelajar juga merupakan salah satu cara UTM memberikan pendedahan kepada pelajar untuk merasai pengalaman berada di universiti luar negara. Ini bersesuaian dengan saranan Kementerian yang menekankan keperluan Mobiliti rentas sempadan kepada pelajar.

UTM telah berjaya menghantar seramai 13,359 pelajar keluar negara untuk mengikuti program Mobiliti rentas sempadan ini. Selain itu, UTM juga telah berjaya menjadi tuan rumah kepada 10,119 pelajar luar negara yang telah memilih UTM sebagai universiti pilihan untuk pengalaman mobility tersebut.

UTM juga merupakan antara segelintir universiti yang menawarkan kelainan kepada mereka yang berhasrat melanjutkan pelajaran seperti melalui pelaksanaan Program Khas. Sebagai contoh, seramai 25 orang Pegawai Tadbir Negeri Johor melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dibawah program kerjasama bagi melahirkan penjawat awam yang berkelayakan dan mampu memantapkan perkhidmatan awam Johor. Selain itu, kerjasama UTM dan McDonald’s telah membuka peluang kepada lebih daripada 14,000 pekerja McDonald's Malaysia untuk mendaftar program MBA di UTM.

Dr Maszlee mendengar penerangan pelajar tentang 'geometri dalam senibina geodesic dome' semasa melawat 21st Century Classroom bersama pelajar di Sekolah Kebangsaan Tanjung Surat semasa Majlis Pelancaran SULAM di Pulau Tanjung Surat, iaitu sebuah projek CSR inisiatif UTM. Turut mendengar taklimat ialah Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar (berdiri, tiga dari kiri) serta Pengarah Unit Pembangunan UTM, Prof Dr Mohd Zaki Kamsah.
Dr Maszlee mendengar penerangan pelajar tentang 'geometri dalam senibina geodesic dome' semasa melawat 21st Century Classroom bersama pelajar di Sekolah Kebangsaan Tanjung Surat semasa Majlis Pelancaran SULAM di Pulau Tanjung Surat, iaitu sebuah projek CSR inisiatif UTM. Turut mendengar taklimat ialah Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar (berdiri, tiga dari kiri) serta Pengarah Unit Pembangunan UTM, Prof Dr Mohd Zaki Kamsah.

  1. Keceriaan dan Saling Hormat Menghormati

YB Dr. Maszlee sangat menekankan agar institusi pendidikan memainkan peranan untuk membina bersama nilai cinta atau kasih sayang, kegembiraan atau kebahagiaan dan saling menghormati.

Merujuk kepada hasrat ini, UTM melalui aspirasi UTMDNAnya telah melaksana insiatif seperti berikut bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, perihatin terhadap pelajar, dan merai kepelbagaian dan keterangkuman.

UTM berusaha menyediakan persekitaran kerja yang kondusif kepada warganya dan memandang serius terhadap kesihatan. Pelaksanaan lebih daripada 50 Program Gaya Hidup Sihat dalam kalangan warga UTM telah dilaksana sejak 2010.

Keperihatinan terhadap pelajar juga diutamakan dan pelbagai bentuk bantuan dihulurkan seperti pemberian makanan percuma melalui Bank Makanan, Kupon Makanan dan Rak Kasih Sayang ditawarkan kepada pelajar yang memerlukan.

Di samping itu, dalam meraikan kepelbagaian dan keterangkuman, UTM memberi sepenuh sokongan dalam pelaksanaan program-program seperti Minggu Antarabangsa dan Sudut Budaya (Culture Corner). Program seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan pelajar tempatan dan luar negara. Ini bertepatan dengan aspirasi Kementerian yang berhasratkan agar masyarakat menjadi lebih global dan terbuka.

Dalam membina nilai cinta, dan saling menghormati dikalangan pelajar terhadap masyarakat, UTM secara berterusan menganjurkan program-program kemasyarakatan dan salah satu diantaranya adalah Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM). Melalui Program SULAM, pelajar di didik untuk membantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah setempat dengan pengetahuan dalam bidang masing-masing.

  1. Keterangkuman dalam Pendidikan (Inclusivity in Education)

Dalam memacu pendidikan tinggi untuk kemajuan tamadun bangsa, UTM menawarkan pendidikan tinggi kepada semua golongan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kelompok.

Menteri Pendidikan pernah menyatakan dalam ucapan diawal tahun beliau bahawa keterangkuman sistem pendidikan negara pada masa ini membabitkan golongan berkeperluan seperti anak keluarga B40, Orang Asli, Orang Kurang Upaya, miskin dan kumpulan minoriti.

UTM telah sememangnya peka akan keperluan menghulurkan bantuan di mana UTM telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM25 Juta bagi membantu pelajar dari golongan B40 seramai lebih daripada 2,500 orang. Seramai 69 orang pelajar yang menepati kelayakan juga telah menerima bantuan biasiswa endownmen UTM sebanyak RM228,000.

Menteri Pendidikan juga menyifatkan konsep inklusif adalah sangat penting supaya pelajar kelainan upaya (OKU) dapat merasai pendidikan ‘mainstream’. Di UTM, terdapat seramai 42 orang pelajar OKU yang berdaftar dan seramai 6 orang telah bergarduasi.

Malah, satu Pusat Bantuan telah diwujudkan bagi menyantuni pelajar-pelajar OKU. Selain itu, seramai 250 buah kelauarga telah berdaftar di Pusat Terapi Kanak-Kanak Autisma UTM (UTM Little Genius Therapy Centre) bagi mendapatkan rawatan serta konsultansi. Ini menunjukkan bahawa UTM benar-benar menjiwai dasar inklusif orang kelainan upaya.

Melalui slogan #MALAYSIAMEMBACA, YB Dr Maszlee menyarankan masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca. UTM menyokong kuat usaha ini dan amalan membaca telah diluaskan bukan hanya di dalam kampus malah melibatkan usaha keterangkuman di mana seramai 30 anak Orang Asli telah mengikuti program “Seronoknya Membaca” di Kampung Orang Asli Sg.Peroh, Kahang. Di samping itu, sebanyak 500 naskah projek Terjemahan Bahan Braille telah berjaya dilaksanakan oleh Unit Pustakawan UTM untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru.

Ini merupakan inisiatif berterusan UTM dalam menyokong hasrat Kementerian Pendidikan yang telah melancarkan kempen Dekad Membaca oleh Menteri Pendidikan semasa majlis Amanat Tahun Baru 2019 Menteri Pendidikan.

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan UTM sebagai sebuah universiti juga telah menjalankan aktiviti berkaitan membaca seperti Program Bicara Karya dan Read and Relax yang melibatkan pelajar dan staf universiti.

Kesimpulan

Agenda “Universiti Untuk Masyarakat” hasil dari inspirasi Menteri Pendidikan adalah sangat berimpak dan usaha bersama di peringkat universiti perlu digembleng sepenuhnya bukan sahaja demi memenuhi hasrat Kementerian dan negara malah amat perlu bagi membangunkan masyarakat yang berdaya saing dan holistik.

Oleh itu UTM menyokong penuh aspirasi ini dan sentiasa komited untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Kesimpulannya, UTM komited membantu negara melalui pelbagai initiatif yang telah dinyatakan.

Ia juga membuktikan bahawa warga universiti sentiasa mahu berbakti kepada masyarakat dan sentiasa bersama Kementerian dalam usaha memakmurkan negara dan mensejahterakan kehidupan masyarakat secara inklusif.

Prof Datuk Ir. Dr. Wahid Bin Omar

Naib Canselor

Universiti Teknologi Malaysia

27 November 2019

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis