X

Kindly register in order to view this article
!

Peminat letak harapan tinggi, Nurfatimah akui tersentuh

Nurfatimah release kembali single Mawar - FOTO: Rosli Talib
A
A

BIARPUN ramai meletakkan namanya sebagai calon finalis yang bakal berentap di konsert akhir Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Nur Fatimah mengakui laluannya tidak semudah seperti disangkakan.

Meski sudah melakukan yang terbaik, pemilik nama sebenar Nur Fatimah Abdul Wahab, 37, akur dengan kehebatan rakan peserta lain yang tampil dengan kelebihan masing-masing.

“Saya akui tersentuh bila ramai memberikan kata-kata positif, malah meletakkan harapan tinggi kepada saya. Kami semua cuba memberikan yang terbaik, namun pada akhirnya ia berbalik kepada rezeki.

“Sebenarnya tak mudah untuk berada pada tahap ini. Ada ketikanya saya berada pada kedudukan di bawah, malah pernah hampir tersingkir. Tapi alhamdulillah masih lagi berpeluang meneruskan persaingan dalam GV6 untuk konsert minggu kelapan.

“Apa yang boleh dikatakan, setiap minggu persembahan saya ada turun naiknya. Bila persembahan kurang memuaskan pihak juri, saya akur dan tidak mahu meletakkan sebarang alasan kerana tahu mereka lebih arif menilai,” tegasnya.

Dalam pada itu, Nur Fatimah, tidak menafikan dirinya dirisik beberapa pihak untuk menjalinkan kerjasama menghasilkan projek khas. Bagaimanapun, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Selembut Sutera itu belum membuat sebarang keputusan kerana mahu terlebih dahulu memberi tumpuan kepada GV6.

Apa pun, bagi memenuhi permintaan peminat, Nur Fatimah kembali menampilkan single lamanya, Mawar yang kini dipasarkan semula menerusi platform digital.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan saya mengeluarkan kembali single lama, Mawar, atas permintaan perminat yang dulunya mungkin tidak berkesempatan untuk dengar lagu ini.

“Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh saya sendiri ini pernah menjadi lagu tema sebuah drama. Sebenarnya ramai yang tahu lagu itu, tetapi tidak mengenali siapa penyanyinya.

“Jadi atas persetujuan bersama, kami kembali mempromosikan lagu tersebut sebelum saya tampil dengan beberapa perancangan lain termasuk single baharu untuk solo dan duet,” katanya.

Melihat kepada pelbagai perancangan diaturkan untuk kerjaya seninya selepas ini, kata Nur, dia tidak menolak kemungkinan akan berada lebih lama di Malaysia, sebelum kembali ke Australia.

Apatah lagi suaminya, Mohd Jeffry Wain Wright, 50, sangat menyokong minatnya dalam bidang nyanyian dan memberi keizinan untuknya kembali aktif.

“Jika selepas ini saya kembali aktif dan terlibat dengan pelbagai aktiviti seni di Malaysia, mungkin saya akan pertimbangkan hasrat untuk berada lebih lama di sini dan begitulah sebaliknya.

“Bagaimanapun banyak benda yang saya kena fikir juga kerana suami menetap dan bekerja di Australia.

“Suami memang suka Kuala Lumpur, tetapi tidak mudah untuk berpindah begitu sahaja, kecuali dia mendapat kerja yang sesuai di sini,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!