Kenderaan 'kenit' tawar keseronokan

Scale Crawler Asian Championship 2019 asah kemahiran peserta

A
A
A

GAGAH mendaki bukit dan meredah laluan berbonggol atau berlubang, ada ketikanya dilihat seperti mahu terbalik namun kenderaan itu terus dikawal dengan baik. Ia juga mampu meredah lokasi berair dan lumpur seperti pemanduan sebenar.

RC Crawler ialah kenderaan pacuan empat roda (4X4) kawalan jauh berskala 1:10 dari kenderaan saiz sebenar. Ia menawarkan keseronokan mengendalikan kenderaan pacuan empat roda meskipun menggunakan alat kawalan jauh!

Kenderaan tersebut dikawal secara frekuensi radio menggunakan motor elektrik sepenuhnya dengan pilihan rangka “rig” mengikut model pacuan empat roda sebenar seperti Land Rover, Range Rover, Toyota Land Cruiser, Unimog Mercedes, Mitsubishi Pajero dan Jeep Wrangler.

KABEL penarik berfungsi sekiranya kenderaan tersangkut pada laluan mencabar.
KABEL penarik berfungsi sekiranya kenderaan tersangkut pada laluan mencabar.

Meskipun kenderaan ‘kenit’ itu yang menggunakan kawalan jauh persis permainan kanak-kanak, harga memilikinya tidaklah murah.

Sebaik diteliti harganya, pemiliknya rata-ratanya pasti menganggarkan akan memerlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk model asas saja.

Bayangkan jika ia spesifikasi serta jenama khas yang lebih berkualiti bagi tujuan pertandingan, tentu saja jumlahnya menjangkau ribuan ringgit bukan?

Artikel Berkaitan:

ALAT kawalan jauh memainkan peranan penting ketika bermain.
ALAT kawalan jauh memainkan peranan penting ketika bermain.

Namun, demi minat mendalam terhadap hobi mengendalikan kenderaan terbabit, peminat golongan tersebut tidak mengeluh. Ramai sanggup berhabis untuk memenuhi kepuasan melihat model pacuan mini dapat melepasi ranjau trek.

Permainan kenderaan itu juga dianggap sebagai sukan baharu atas faktor ia mematuhi peraturan pemarkahan berkaitan kereta Scale Off Road RC Association (SORRCA) yang diguna pakai satu dunia RC.

Baru-baru ini berlangsung Scale Crawler Asian Championship 2019 di Taman Botani Shah Alam, Selangor yang disertai lebih 20 peserta termasuk dari Malaysia, Taiwan, Indonesia dan Hong Kong.

Menguji kehebatan

Kejohanan dua hari itu menawarkan peluang kepada para peserta menguji kehebatan mengendalikan kenderaan RC Crawler masing-masing dalam suasana persekitaran hutan Malaysia.

Kategori yang dipertandingkan ialah Kelas Zero, Kelas Satu, Kelas dua dan kelas 2.5 yang mana sebuah RC yang baharu keluar dari kotak bungkusan bertanding dalam kelas Zero. Model yang telah dimodifikasi sepenuhnya pula bertanding dalam kategori kelas 2.5.

Kejohanan itu dikendalikan sepenuhnya oleh sekumpulan penggiat hobi permainan berkenaan diketuai Presiden Siput Park Trophy, Mohammad Shahrin Mandalam.

SHAHRIN (kanan) sedang memeriksa crawler kawalannya sebelum beraksi bersama peserta lain di Kejohanan Asia Skala Crawler 2019 di Taman Botani Nasional Shah Alam.
SHAHRIN (kanan) sedang memeriksa crawler kawalannya sebelum beraksi bersama peserta lain di Kejohanan Asia Skala Crawler 2019 di Taman Botani Nasional Shah Alam.

Mohammad Shahrin atau lebih mesra dengan panggilan Shahrin berkata, kejohanan yang dianjurkan itu adalah pertama kali diadakan di situ.

“Kami telah menganjurkan pertandingan ini sejak akhir tahun 2014, tetapi tempat dan lokasi pertandingan sering berubah sejak bertahun-tahun.

“Sebenarnya ramai terjebak dalam permainan RC Scale Crawler ini kerana minat terhadap sukan 4x4. Bagi mereka sukan ini tidak jauh bezanya dengan memandu kenderaan berkenaan.

“Pemainnya perlu mempunyai pengetahuan dalam trek serta kaedah melepasi setiap liku. Tidak hairanlah sukan ini dapat perhatian golongan dewasa kerana memerlukan konsentrasi serta skil yang tinggi,” katanya.

Tambah Shahrin lagi, cabaran terbabit memerlukan kenderaan itu melalui laluan berbatu, air dan pelbagai permukaan yang berbeza. Pemarkahan akan diberi berdasarkan spesifikasi rig, kemahiran pengendalian dan penyelamatan rig tanpa menyentuhnya.

Ujar beliau, selaras dengan perkembangan teknologi terkini, banyak peralatan dicipta dan memasuki pasaran tempatan sekali gus meningkatkan minat pemilik untuk menghias dan menambah baik RC Crawler masing-masing.

KERETA mini Remote Control (RC) Scale Crawler 4x4 adalah pacuan empat roda merangkak perlahan melepasi laluan berliku, berbatu serta struktur tanah yang tidak rata.
KERETA mini Remote Control (RC) Scale Crawler 4x4 adalah pacuan empat roda merangkak perlahan melepasi laluan berliku, berbatu serta struktur tanah yang tidak rata.

Beberapa pertandingan anjuran Siput Park Tropy telah mendapat tajaan secara terus daripada pengeluar peralatan RC dari luar negara seperti Hong Kong.

Kejohanan itu kini dilihat semakin diminati termasuk menarik perhatian golongan profesional untuk berekreasi dan bersosial pada hujung minggu.

Siput Park Trophy juga sangat aktif di laman media sosial dan boleh dihubungi melalui Facebook serta Instagram.