Jangka TIV sektor automotif 2019 cecah 590,000 unit

Kenanga mengekalkan penarafan neutral ke atas sektor automotif.
A
A

KENANGA Research menjangkakan jumlah industri keseluruhan (TIV) bagi sektor automotif pada 2019 akan mencecah 590,000 unit, disokong model-model terbaharu antaranya Toyota Vios, Nissan, dan Proton.

Firma penyelidikan itu dalam notanya memberitahu model-model baharu ini akan dapat mengimbangi ketiadaan cukai sifar seperti dinikmati pada 2018.

Kenanga telah mengekalkan penarafan neutral ke atas sektor automotif.

"Indeks sentimen pengguna MIER meraih 107.5 mata pada suku ketiga 2018, ia berada di ambang keyakinan yang lebih baik pada 100 mata selepas pengguna mengambil peluang menghabiskan baki tempoh cukai sifar.

"Berikutnya, data Bank Negara Malaysia (BNM) terkini menunjukkan kadar kelulusan pinjaman untuk kereta penumpang masih di atas purata kadar kelulusan pinjaman lima tahunkira-kira 55 peratus, kesan positif daripada cukai sifar yang diperkenalkan," katanya.

Jualan dalam suku keempat 2018 menurun selepas pengguna berbelanja besar semasa musim cukai sifar mengakibatkan lonjakan bulanan kedua tertinggi dalam jualan TIV pada Julai 2018, ditambah dengan penyelarasan harga serta perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Bagaimanapun, kesan ini diimbangi oleh promosi biasa musim akhir tahun. Melalui SST yang diwartakan pada 1 September 2018, kenderaan mula dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus.

"Namun, pengumuman oleh pengeluar kereta tertentu baru-baru ini menyebut harga unit kenderaan yang dipasang dalam negara (CKD) menurun satu hingga tiga peratus," katanya.