Lebih 20 peguam sokong cabar penubuhan sekolah vernakular

Mohd Khairul Azam menyampaikan ucapan pada program Bicara Bersama Tokoh bertajuk Sekolah Vernakular: Mengapa Saya Saman anjuran Gagasan Melayu Perak di Greentown Square semalam.
Mohd Khairul Azam menyampaikan ucapan pada program Bicara Bersama Tokoh bertajuk Sekolah Vernakular: Mengapa Saya Saman anjuran Gagasan Melayu Perak di Greentown Square semalam.
A
A
A

IPOH - Tindakan saman ke atas penubuhan sekolah vernakular yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan lebih 20 peguam.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tindakan itu dibuat selepas kes yang difailkan di Mahkamah Persekutuan sebelum ini ditolak.

Menurutnya, pada peringkat awal kes di Mahkamah Persekutuan, seramai lapan peguam terlibat.

"Pada awalnya orang ingat saya main-main kata nak saman isu sekolah vernakular ini di mahkamah. Apabila saya betul-betul failkan kes di Mahkamah Persekutuan, sudah ramai yang mula bersama-sama saya.

"Saya kini mendapat lebih banyak bantuan. Saya mendapat sokongan lebih ramai peguam. Dulu ada tujuh, lapan peguam sahaja, sekarang ada hampir 20 orang yang bukan nama kecil-kecil.

"Saya lebih bersedia sekarang berbanding dulu," katanya ketika berucap pada program Bicara Bersama Tokoh bertajuk Sekolah Vernakular: Mengapa Saya Saman anjuran Gagasan Melayu Perak di Greentown Square di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Cabar sekolah vernakular: Peguam gagal dapatkan kebenaran

Sementara itu, Mohd Khairul Azam menjelaskan tindakan saman itu dikemukakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya orang Melayu tentang Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan itu juga membuktikan bahawa masyarakat Melayu sudah berani mempertahankan hak mereka melalui saluran mahkamah.

"Kenapa mahkamah? Mereka wajib menjawab apa yang kita kemukakan sama ada tujuh hari atau 14 hari. Kalau tak jawab, kita akan ambil penghakiman ke atas mereka dan mereka kena buat pelbagai pengisytiharan yang akan mendatangkan pelbagai masalah kepada mereka.

"Saya mengharapkan dengan saman ini memberi mesej supaya jangan cabar hak istimewa orang Melayu dan dengan tindakan ini diharap ramai yang lebih bersemangat," katanya.

Beliau berkata, selain isu sekolah vernakular terdapat lapan lagi tindakan saman yang akan dibuat dalam tempoh tiga tahun mengikut perancangan yang dirangka.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Azam mengharapkan sokongan dan bantuan orang ramai bagi menjayakan beberapa tindakan saman ini.

Katanya, antara yang diperlukan adalah sumbangan kewangan bagi menjalankan penyelidikan dan mendapatkan bahan-bahan berkaitan untuk digunakan semasa perbicaraan kes-kes berkenaan.