17 remaja 'rai habis SPM' disaman

Sekumpulan remaja yang masih berpakaian sekolah dikatakan mengganggu dan membahayakan pengguna jalan raya di sekitar Klebang semalam.
Sekumpulan remaja yang masih berpakaian sekolah dikatakan mengganggu dan membahayakan pengguna jalan raya di sekitar Klebang semalam.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis mengeluarkan sebanyak 17 saman terhadap sekumpulan remaja yang tular dalam laman sosial kerana menunggang secara melulu kononnya meraikan 'kemerdekaan' selepas tamat kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Hassan Basri Yahya berkata, kesalahan tersebut melibatkan 17 remaja yang berpakaian sekolah bertindak melakukan aksi lagak ngeri semasa menunggang motosikal sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, mereka yang ditahan memberi alasan melakukan aksi terbabit sebagai satu cara untuk mengekspresikan diri sebagai 'merdeka' dan aksi itu disifatkan sebagai sambutan habis SPM dan tamat sekolah.

Anggota polis menahan kumpulan pelajar yang dipercayai melakukan lagak ngeri semasa menunggang motosikal. - Foto ihsan PDRM
Anggota polis menahan kumpulan pelajar yang dipercayai melakukan lagak ngeri semasa menunggang motosikal. - Foto ihsan PDRM

"Kita mendapat aduan orang awam berkenaan isu terbabit sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan tindakan telah diambil.

"Antara kesalahan yang dilakukan seperti tiada lesen memandu, cukai tamat tempoh dan ubah suai kenderaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, tular video mengenai beberapa orang remaja lengkap berpakaian sekolah menunjuk perasaan 'bebas' dengan berlagak seperti hero jalanan di sekitar Klebang dan bandaraya Melaka dengan menunggang motosikal secara melulu tanpa memikirkan pengguna jalan raya lain.

Ada di antara mereka ini yang dilihat mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising daripada motosikal yang dinaiki dan bergerak di atas jalan raya secara berkumpulan sehingga mengakibatkan pengguna jalan raya lain terpaksa memberi laluan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] 'Merempit, buat kacau rai habis SPM'