Simbah air panas: Sepasang suami isteri direman 4 hari

Kedua-dua suami isteri direman bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suami isteri direman bagi membantu siasatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Sepasang suami isteri direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan disimbah air panas, Disember lalu.

Kedua-dua suspek yang memakai baju berwarna hitam dan seluar denim dibawa ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang kira-kira jam 11.35 pagi untuk proses tersebut.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muna Maria Azmi.

Semalam, suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan bersama isterinya di hadapan sebuah kedai menjual durian Cap Kaki di Paya Terubong.

Dia ditahan bersama isteri yang berusia 34 tahun pada jam 10 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Dalam kejadian pada malam 27 Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di beberapa bahagian badannya dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandungnya.

Mangsa berusia lapan tahun itu dikatakan disimbah air panas di badan selepas bapanya berang kerana makanan yang disediakan isterinya habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa.

Akibat daripada itu, mangsa melecur di lengan, rusuk serta dada kanan namun tidak memerlukan pembedahan plastik.

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan peratusan melecur pada badan mangsa hanya tiga peratus dan dikategorikan sebagai 'mid-dermal burn'.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar di sebuah pasaraya di Bayan Baru baru pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar.

Bagaimanapun, suspek mendapati makanan yang disediakan isterinya telah dihabiskan lalu bertindak mengejutkan keempat-empat anaknya yang sedang tidur dan memukul mereka.

Selepas memarahi dan memukul mereka, suspek menyimbah semangkuk air panas dari mesin penapis air minuman ke arah mangsa.

Susulan daripada itu, suspek bersama isteri dan anak bongsunya telah melarikan diri kerana bimbang ditahan polis.

Mangsa merupakan anak kedua daripada empat adik beradik lelaki itu dikatakan sering diabaikan oleh kedua ibu bapa mereka.

Anak sulung kepada sepasang suami isteri itu berusia sembilan, ketiga enam dan yang bongsu berusia tiga tahun.

Menurut jiran, kesemua mereka diabaikan ibu bapa dan sering dilihat berkeliaran di kawasan kediaman tanpa pengawasan orang dewasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.