DPIM cadang Speaker catat kehadiran ahli Parlimen

Laporan Sinar Harian berhubung masalah kehadiran ahli Parlimen di sidang Dewan Rakyat.
Laporan Sinar Harian berhubung masalah kehadiran ahli Parlimen di sidang Dewan Rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mengusulkan supaya Speaker mengambil kedatangan setiap ahli Parlimen dalam sesi perbahasan dan mengumumkan kepada rakyat apabila Dewan Rakyat selesai bersidang.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, tindakan ahli Parlimen yang ponteng sesi perbahasan dengan alasan tidak masuk akal juga disarankan supaya segera meletak jawatan.

“DPIM mendesak ahli Parlimen yang memberi alasan 'penat' dan 'Dewan Rakyat terlalu sejuk' agar segera meletakkan jawatan supaya pilihan raya kecil (PRK) dapat diadakan bagi memilih wakil rakyat yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat.

“Alasan demi alasan yang tidak munasabah ini sebenarnya menghina rakyat yang memilih mereka mewakili suara rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Dewan Rakyat sejuk, tak boleh duduk lama'

Letih punca jumlah kehadiran MP kerajaan sedikit

Beliau turut mempersoalkan kegagalan segelintir ahli Parlimen memberi komitmen tinggi sedangkan mereka hanya bersidang empat kali setahun, seolah-olah menghina golongan profesional lain yang bekerja di Dewan Rakyat seperti wartawan yang terpaksa berdiri dan bersengkang mata dari awal pagi hingga lewat malam bertugas di Parlimen.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan tindakan tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat dengan alasan picisan jelas membuktikan mereka menggalas tugas sebagai ahli Parlimen sambil lewa dan bersetuju sekiranya gaji serta elaun dipotong jika tidak hadir tanpa alasan munasabah.

Artikel Berkaitan:

“Jika pegawai kerajaan perlu mendapatkan cuti sakit di klinik kerajaan atau hospital kerajaan kerana tidak hadir bertugas, mengapa ahli Parlimen dikecualikan? Harus diingat, gaji dan elaun ahli Parlimen dibayar oleh rakyat,” katanya.

Menurutnya, Speaker Dewan Rakyat perlu bertindak tegas ke atas isu-isu sedemikian yang dilihat semakin tidak terkawal hingga menggores hati dan perasaan rakyat.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat bermula lewat dua minit selepas bacaan doa apabila jumlah ahli Parlimen (MP) yang hadir tidak mencukupi kuorum yang ditetapkan.

Usul tidak cukup kuorum itu ditimbulkan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad ketika Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md menjemput Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik untuk menjawab soalan pertama yang dikemukakan oleh Datuk Dr Hassan Bahrom (PH-Tampin) pada sesi soal jawab lisan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak cukup korum, sidang Dewan Rakyat mula lewat