Operasi Tapak Bersepadu: DBKL keluar tiga kompaun

Pekerja tapak pembinaan turut diperiksa dalam operasi terbabit. - Foto ihsan DBKL
Pekerja tapak pembinaan turut diperiksa dalam operasi terbabit. - Foto ihsan DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan tiga notis kompaun dalam operasi di tapak pembinaan di Jalan Kuchai Maju di sini semalam.

Menerusi satu kenyataan, DBKL memaklumkan Operasi Tapak Bersepadu itu dilaksanakan ke atas sebarang kerja-kerja atau aktiviti tapak pembinaan yang dijalankan tanpa mematuhi syarat kelulusan perintah pembangunan serta kawalan vektor ditetapkan.

Katanya, semua kompaun berkenaan dikeluarkan oleh DBKL mengikut bidang kuasa dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

"Tindakan diambil di bawah kesalahan dan peruntukan undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta mengikut bidang kuasa yang dikuatkuasakan agensi sahabat yang terlibat sama," kata kenyataan itu.

Kakitangan DBKL melakukan pemeriksaan sewaktu operasi tersebut. - Foto ihsan DBKL
Kakitangan DBKL melakukan pemeriksaan sewaktu operasi tersebut. - Foto ihsan DBKL

Difahamkan, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, DBKL memaklumkan seramai 50 orang pekerja di tapak pembinaan turut diperiksa menerusi operasi terbabit.

"Pemeriksaan itu dilaksanakan oleh PDRM bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran syarat, permit pekerjaan dan kesalahan dokumen perjalanan dilakukan oleh pihak terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Malah JBPM turut mengeluarkan satu notis Menghapus Bahaya Kebakaran semasa operasi itu," katanya.

Tambahnya, operasi bersepadu ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.