MoU dengan syarikat China tak libat aktiviti melombong: KATS

KATS menegaskan pemeteraian perjanjian MB Inc dengan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co Ltd hanya tertumpu kepada proses kajian bagi mengenal pasti sumber-sumber nadir bumi di Perak. - Gambar hiasan
KATS menegaskan pemeteraian perjanjian MB Inc dengan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co Ltd hanya tertumpu kepada proses kajian bagi mengenal pasti sumber-sumber nadir bumi di Perak. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Menteri Besar Incorporated (Perak) dan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co Ltd tidak melibatkan sebarang aktiviti perlombongan mineral nadir di Perak.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menegaskan bahawa pemeteraian perjanjian tersebut hanya tertumpu kepada proses kajian bagi mengenal pasti sumber-sumber nadir bumi di negeri tersebut.

"Konteks pemeteraian MoU tersebut masih di peringkat awal iaitu menggunakan kepakaran daripada pihak China dalam mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak, khususnya jenis lempung jerapan ion (ion adsorption clay) yang tidak mengandungi thorium mahupun uranium sebagai sisa sampingan.

"KATS menyokong sebarang kerjasama dengan pihak luar sekiranya jalinan tersebut boleh memberi impak positif dalam pembangunan ekonomi Malaysia secara mampan dan tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat," kata KATS dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam satu kenyataan pada 16 November lalu menyuarakan rasa terkejut dengan persetujuan antara kerajaan Perak dan Persekutuan bersama syarikat China tersebut untuk menjalankan penerokaan mineral nadir bumi di negeri itu.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, Perak tidak belajar daripada 'pengajaran tragik' kilang Asian Rare Earth (ARE) Bukit Merah yang menyebabkan keracunan radioaktif serius dalam kalangan penduduk sekitar.

Dakwanya, kerja-kerja penerokaan itu jelas akan menjadi langkah pertama untuk perlombongan nadir bumi di Perak.

Justeru, KATS dan kerajaan negeri digesa bertindak dengan bertanggungjawab dengan menghentikan pelaburan yang hanya mendatangkan keuntungan besar untuk jangka pendek tetapi meninggalkan bahan berbahaya untuk diwarisi generasi akan datang.

Artikel Berkaitan: