X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang lulus 127.8 hektar hutan simpan kekal

Wan Rosdy Wan Ismail
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meluluskan kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai hutan simpan kekal dalam usaha melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan mesra alam dan hidupan liar itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri bagi melindungi spesies terancam di Wisma Sri Pahang semalam.

Menurutnya, kawasan baharu yang diluluskan itu juga bakal menghubungkan Hutan Simpan Kekal Ulu Jelai dan Tanum, sekali gus akan membentuk Koridor Ekologi di bawah Pelan Induk Ekologi (CFS 1) yang terlibat secara langsung dengan rangkaian Central Forest Spine (CFS).

"Kerajaan negeri juga bersetuju menutup jalan lama Sungai Yu sepanjang kira-kira 5.2 kilometer di kawasan itu serta merizabkan tanah kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang.

"Keputusan penutupan jalan lama Sungai Yu itu wajar kerana jalan tersebut sudah jarang digunakan penduduk kampung selepas siapnya lebuh raya Central Spine Road di kawasan itu.

"Penutupan jalan itu juga wajar mengambil kira cadangan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) yang disertai Malaysian Nature Society (MNS), Traffic South East Asia, Wildlife Conservation Society Malaysia Programme dan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, MYCAT turut menerima laporan berhubung kehadiran pemburu haram, penceroboh tanah dan pembalak haram yang menggunakan jalan tersebut untuk menjalankan aktiviti mereka serta terdapat bukti menunjukkan harimau belang dan hidupan lain yang menggunakan Eco-Viaduct’ menjadi sasaran pemburu haram dalam tempoh antara Februari dan April tahun ini.

Sehubungan itu katanya, penutupan jalan tersebut dilihat sebagai langkah tepat dan komitmen tinggi kerajaan dalam Pelan Induk CFS kerana ia dapat menghalang kemasukan 'penjenayah alam sekitar' itu ke kawasan hutan Eco-Viaduct iaitu projek kerajaan Persekutuan bernilai RM60 juta.

"Tanah kerajaan seluas 2.05 hektar yang dirizabkan sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang turut melibatkan kawasan Taman Rekreasi Sungai Yu sedia ada.

"Keputusan ini dibuat memandangkan kemudahan asas yang terdapat di taman rekreasi itu sudah uzur selain tahap kebersihannya kurang memuaskan ekoran peningkatan jumlah pengunjung pada hujung minggu dan musim cuti sekolah," katanya.

Wan Rosdy berkata, ia juga akan memberi peluang kepada para penyelidik dalam dan luar negara untuk membuat penyelidikan berkaitan hutan serta flora dan fauna negeri ini.

"Pada masa sama, kerja-kerja menguruskan koridor ekologi CFS Negeri Pahang juga dapat dilakukan dengan lebih cekap termasuk dalam aspek kewangan negeri menerusi fi penyelidikan yang bakal dikenakan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!