'Ini bukan persembahan sebenar Liverpool'

Pemain Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain (kiri) cuba melepasi kekangan pemain Napoli ketika perlawanan Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi tadi.
Pemain Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain (kiri) cuba melepasi kekangan pemain Napoli ketika perlawanan Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi tadi.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp kecewa dengan persembahan yang dipamerkan pemainnya selepas meraih keputusan seri 1-1 dengan Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi tadi.

Malah, Klopp mengakui ia bukan persembahan dan corak permainan sebenar The Reds apatah lagi pemain banyak membuat kesilapan yang membuka ruang buat Napoli mencipta peluang jaringan.

"Corak permainan Napoli disusun dengan baik dan berjaya mengekang kami sehingga penghujung permainan. Kami memang tak tampil bagus, itu perlu diakui.

"Saya tidak gembira dengan 15 minit terakhir babak pertama. Babak kedua pula berlangsung dengan permainan yang berintensiti tinggi dan ia menjadi sangat sukar. Tidak banyak peluang yang berjaya dicipta pemain," katanya.

Dalam perlawanan itu, Napoli terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Dries Mertens sebelum pertahanan Liverpool, Dejan Lovren menjaringkan gol penyamaan untuk menyelamatkan maruah juara Eropah itu.

"Kami menerima keputusan hari ini dan perlu diakui mereka bermain bagus menutup bahagian tengah dan kami perlu masuk melalui bahagian sayap. Perancangannya memang begitu tetapi pemain gagal untuk merealisasikannya," katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan hasrat Liverpool untuk mengesahkan tiket ke peringkat 16 pasukan terbaik tertangguh dan perlu memastikan kemenangan ke atas Salzburg, 11 Disember ini.

"Mungkin hasil ini tidak cukup bagus tetapi situasinya kami masih mampu layak. Ketika kami bertandang ke Salzburg, kami perlu memastikan kemenangan dan layak ke pusingan 16 terbaik. Kami perlu cuba menang di sana," kata Klopp.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kapten The Reds, Jordan Henderson menyifatkan Napoli terlalu cemerlang bermain secara defensif sehingga menyukarkan pemain tuan rumah mencari gol kemenangan.

"Napoli merupakan pasukan yang bagus dengan pemain yang berkualiti. Ada beberapa ketika kami menunjukkan corak permainan yang bagus tetapi sayangnya gagal menjaringkan gol kemenangan," katanya.

Liverpool masih berada di kedudukan teratas Kumpulan E dengan 10 mata berkelebihan satu mata ke atas Napoli yang berada di kedudukan kedua.