X

Kindly register in order to view this article
!

Bank sperma penghidap HIV pertama di dunia

Sperm Positive itu bertujuan untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV.
A
A

WELLINGTON - Bank sperma pertama yang didermakan penghidap HIV positif dibuka buat pertama kali di New Zealand semalam dengan tujuan untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap golongan itu.

Radio New Zealand melaporkan klinik digelar Sperm Positive itu kini mempunyai tiga penderma yang jumlah virus tersebut di dalam darah mereka sangat rendah dan tidak boleh menjangkiti orang lain.

Menurut bank sperma tersebut, ia mahu meningkatkan kesedaran bahawa perkhidmatan kesuburan tersedia untuk mereka yang menghidapi HIV dan turut memetik kajian dilakukan pada 2018 di New Zealand yang menunjukkan kebanyakan penduduk tempatan tidak mempunyai pengetahuan sebenar tentang risiko penyebaran virus itu.

"Kami tidak akan melakukan sebarang bentuk rawatan berkaitan kesuburan. Kami hanya membantu mereka yang berminat untuk memadankan dengan penderma. Apabila penderma bersetuju, Sperma Positive akan membantu mereka mendapatkan klinik kesuburan tempatan," jelas bank sperma itu di laman web mereka.

Difahamkan, bank sperma tersebut diperkenalkan oleh New Zealand AIDS Foundation, Positive Women dan Body Positive.

Menerusi Facebook, yayasan itu turut menyampaikan mesej, 'Mereka boleh beri anda mata dan rambut mereka tetapi mereka tidak boleh beri anda HIV'.

Sementara itu, salah seorang penderma, Damien Rule-Neal, 45, yang disahkan positif HIV dua dekad lalu berkata, dia mahu orang ramai tahu bahawa hidup tidak akan terhenti apabila anda menghidapi HIV.

"Ia adalah selamat untuk mempunyai anak jika anda mendapatkan rawatan," lapor New Zealand Herald memetik kenyataannya. - Agensi