Guru kaunseling bantu pelajar

Guru kaunseling akan membantu pelajar untuk memilih mata pelajaran bersesuaian mengikut kebolehan serta minat mereka.
Guru kaunseling akan membantu pelajar untuk memilih mata pelajaran bersesuaian mengikut kebolehan serta minat mereka.
A
A
A

GURU Bimbingan dan Kaunseling sedia membantu pelajar Tingkatan 4 memilih empat pakej mata pelajaran yang ditawarkan apabila Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) (Menengah Atas) dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun depan.

Berdasarkan dasar baharu itu, guru kaunseling di semua sekolah menengah berperanan membantu pelajar membuat pilihan pakej mata pelajaran Tingkatan 4 berdasarkan keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta prospek karier masing-masing.

Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaaan, Ismail Hashim berkata, walaupun sesi taklimat mengenai pelaksanaan kurikulum itu belum dimaklumkan secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah menengah, namun pihaknya percaya tanggungjawab itu akan mampu digalas sebaik mungkin.

“Kita akan melaksanakan apa saja yang disarankan oleh KPM kerana apa yang lebih penting ruang dan peluang perlu diberikan kepada pelajar.

“Pelaksanaan ini juga pilihan terbaik kerana ia memberi ruang kepada pelajar memilih mata pelajaran mengikut minat mereka dengan mengambil kira serta merujuk pelaporan pentaksiran psikometrik Inventori Minat Kerjaya (IMK) yang dilaksanakan kepada pelajar sebelum mereka menduduki ujian PT3,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Habibah Abdul Rahim berkata, pelajar Tingkatan 4 boleh memilih satu daripada empat pakej mata pelajaran yang ditawarkan apabila KSSM Menengah Atas dilaksanakan tahun depan.

Sementara itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Pandamaran Jaya, S Veerasundari berkata, pelaksanaan KSSM Menengah Atas itu sememangnya satu inisiatif yang baik kerana dapat membantu pelajar untuk memilih mata pelajaran bersesuaian mengikut kebolehan serta minat mereka.

Bagaimanapun, katanya, di pihak Guru Bimbingan dan Kaunseling juga bakal berdepan beberapa cabaran dalam menjayakan pelaksanaan tersebut kerana perkara utama adalah untuk memastikan semua pelajar dapat faham tentang pakej-pakej mata pelajaran yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagai guru bimbingan dan kaunseling, pihaknya akan merujuk kepada pelaporan pentaksiran psikometrik IMK yang diambil pelajar sebelum mereka menduduki PT3 kerana dari situ akan dapat melihat minat sebenar para pelajar.

“Cabaran mungkin akan timbul sekiranya keputusan PT3 dan pelaporan pentaksiran psikometrik IMK murid bercanggah. Jadi perkara ini harus dijelaskan kepada para pelajar agar pada akhirnya mereka dapat membuat keputusan yang tepat.

“Satu lagi cabaran yang mungkin timbul iaitu kekurangan tenaga pengajar untuk subjek-subjek elektif kerana berkemungkinan subjek dipilih pelajar tidak mempunyai tenaga pengajar khusus di sekolah mereka,” katanya.