Tambahan mata pelajaran ikut kecenderungan pelajar

Habibah Abdul Rahim
Habibah Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) (Menengah Atas) yang berkuat kuasa Januari depan bertujuan bagi menambah baik aliran Sains dan Sastera dalam sistem pendidikan sedia ada.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Habibah Abdul Rahman berkata, pelajar Tingkatan Empat boleh memilih empat pakej mengandungi kombinasi mata pelajaran teras dan elektif pada penggal persekolahan baharu kelak.

Beliau berkata, pilihan itu membabitkan tiga pakej Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta satu pakej Sastera dan Kemanusiaan.

“Pakej membabitkan kombinasi mata pelajaran teras, wajib dan elektif itu menyaksikan pertambahan mata pelajaran yang ditawarkan kepada pelajar mengikut potensi dan kecenderungan mereka.

“Pakej STEM memerlukan pelajar mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan atau dua subjek Sains Tulen dan Matematik Tambahan dan/atau sekurang-kurangnya satu mata pelajaran elektif STEM Sains Gunaan dan Teknologi atau mata pelajaran bukan elektif STEM,” katanya ketika memberi taklimat kepada media berhubung pelaksanaan KSSM (Menengah Atas) pada Taklimat Berkaitan Penawaran Mata Pelajaran KSSM Tingkatan Empat Tahun 2020 di Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP) di sini hari ini.

Melalui pakej berkenaan, Habibah berkata, pelajar perlu mengambil sekurang-kurangnya dua mata pelajaran elektif STEM Sains Gunaan dan Teknologi atau mengambil mana-mana satu mata pelajaran vokasional (MPV).

“Bagi yang memilih pakej Sastera dan Kemanusiaan, mereka perlu mengambil gabungan mata pelajaran elektif terdiri daripada kumpulan subjek elektif iaitu Bahasa, Pengajian Islam, Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas dan/atau satu mata pelajaran elektif STEM (kecuali MPV),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Habibah berkata, pelaksanaan KSSM (Menengah Atas) membolehkan pelajar memilih mata pelajaran bersesuaian mengikut kebolehan dan minat mereka, mewujudkan suasana pembelajaran menyeronokkan, sekali gus melahirkan generasi berfikiran kritis dan kreatif.

Artikel Berkaitan:

“Ia sejajar untuk memenuhi hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi dalam STEM.

“Bersesuai konsep 'mix and match' mata pelajaran elektif, pihak sekolah boleh menawarkan subjek terbabit mengikut kemudahan kelas, bengkel atau makmal.

“Sekiranya sekolah tiada kemudahan, boleh mengikuti mata pelajaran pilihan mereka di sekolah lain yang menawarkan atau mengambil kelas peribadi di luar,” katanya.