MHC umum senarai pemain hoki dalam dewan

No Image Caption
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan 12 senarai pemain masing-masing bagi skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita dalam misi memburu pingat emas di Sukan SEA ke-30 di Filipina.

MHC, dalam satu kenyataan media hari ini, memaklumkan bahawa jurulatih skuad lelaki Muhammad Amin Rahim mengekalkan tujuh pemain daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi ke-29 lalu.

Skuad lelaki akan membuka kempen dengan menentang Myanmar pada 5 Disember diikuti Singapura, Thailand dan tuan rumah Filipina berdasarkan format round robin.

Sementara skuad wanita di bawah kendalian Muhammad Dharmaraj Abdullah mempertaruhkan enam pemain senior yang cukup sinonim dengan saingan hoki padang serta memiliki pengalaman yang luas sebagai ramuan tambahan skuad wanita memburu pingat emas kali ini.

Dharmaraj turut mengekalkan tiga pemain yang beraksi bersama skuad 2017 yang menyumbang gangsa buat kontinjen negara iaitu Ellya Syahirah Ellias, Nur Aisyah Yaacob dan Qasidah Najwa Muhamad Halimi.

Skuad wanita pula akan memulakan kempen memburu emas berdepan tuan rumah Filipina pada 4 Dis, diikuti Singapura, Thailand dan Kemboja dengan mengikut format perlawanan yang sama.

MHC sebelum ini telah meletakkan sasaran untuk skuad lelaki mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu sementara sasaran untuk merangkul pingat emas juga diletakkan kepada skuad wanita yang membawa pulang pingat gangsa pada edisi 2017.

Berikut adalah senarai pemain skuad hoki dalam dewan ke Sukan SEA ke-30 di Filipina:

Artikel Berkaitan:

Pasukan Lelaki:

Khairul Affendy Kamaruzaman, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri (Penjaga gol); Shazril Irwan Nazli; Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah; Muhammad Firdaus Omar; Muhammad Najmi Farizal Jazlan; Mohd Hanip Che Halim; Shello Silverius; Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad; Faridzul Afiq Mohd; Rafizul Ezry Mustafa.

Pasukan Wanita:

Farah Ayuni Yahya, Siti Rozailah Syuhada Jilon (Penjaga gol); Juliani Mohamad Din; Iren Hussin; Ellya Syahirah Ellias; Raja Norsharina Raja Shabudin; Nuraini Abdul Rashid; Noor Hasliza Md Ali; Nur Aisyah Yaacob; Nur Afiqah Syahzani Azhar; Qasidah Najwa Muhamad Halimi; Wan Norfaiezah Md Saiuti. - Bernama