Guru duka lara: Banyak sulit berbanding senang

Keratan Sinar Harian, semalam.
Keratan Sinar Harian, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - “Pada mulanya saya sangat sedih tatkala melihat keputusan pertukaran yang belum memihak saya, namun lama-kelamaan saya reda," ujar seorang guru yang mahu dikenali sebagai cikgu K, 30-an.

Cikgu K tinggal berjauhan dengan suaminya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan di institusi pengajian tinggi (IPT) di Bangi, Selangor selama lebih enam tahun.

Menurutnya, tidak dinafikan pelbagai kesulitan terpaksa ditempuhinya sepanjang tempoh berkenaan.

"Ada nasib guru lain yang sampai berbelas tahun berjauhan dengan pasangan masing-masing.

"Jadi, saya cuba ambil kekuatan dari situ serta positifkan diri. Saya fikir, mungkin ada hikmah saya dan suami diuji sedemikian rupa. Belum sampai rezeki saya dan suami tinggal bersama. Siapa yang tidak mahu tinggal bersama suami," katanya kepada Sinar Harian.

Ujar cikgu K yang berasal dari Kelantan dan mengajar di sekolah sekitar bandaraya ini lebih tujuh tahun lalu, suaminya akan pulang berjumpanya hanya sebulan sekali.

"Kalau dulu, dua atau tiga minggu sekali. Kini, bapa mertua saya sudah tak sihat, jadi suami perlu menjenguk bapanya di Kuala Lumpur. Kalau kami tinggal bersama, pasti saya dapat jaga orang tua suami.

"Yang jadi masalah jika ada perkara kecemasan berlaku. Kalau ada masalah tak dapat dielakkan, terpaksalah saya memandu ke Selangor mengambil suami dan pulang di kampung saya di Kelantan.

"Malah, setiap bulan, saya dan suami terpaksa berbelanja berhemah kerana khuatir ada perkara kecemasan berlaku. Jadi, setiap bulan kami peruntuk lebih RM1,000 untuk soal kecemasan," katanya.

Artikel Berkaitan:


Katanya, apabila tinggal sendirian turut meningkatkan mental dan semangatnya.

"Di awal perkahwinan, saya masih tinggal menyewa dengan rakan yang masih bujang. Namun, menjadi masalah pula apabila suami balik untuk berjumpa, terpaksa keluar belanja hotel.

"Jadi, kami buat keputusan untuk cari rumah sewa di sini. Namun, saya pula berdepan situasi mencemaskan apabila rumah saya pernah dimasuki pencuri. Mujur, saya terselamat dan tidak diapa-apakan oleh penjenayah itu," katanya.

Tidak dinafikan beliau ada kala turut rasa terkilan apabila rakan-rakannya lain yang lebih awal berkhidmat telah dapat berpindah.

"Alasan yang saya pernah terima, opsyen saya adalah subjek kritikal. Namun, ada juga saya lihat mereka yang sama opsyen dengan saya telah dapat berpindah.

"Mula-mula, saya pertikaikan perkara itu. Namun, lama-lama saya cuba bermuhasabah diri," katanya.