KDN hantar 17 cadangan kepada JPA, pertimbang kenaikan gaji PDRM

 Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menghantar 17 cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mempertimbang kenaikan gaji anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menterinya Datuk Mohd Azis Jamman berkata, bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada keadaan kewangan negara selain perlu mengambil kira kebajikan 1.6 juta penjawat awam yang lain.

“Memang ada (cadangan) dan kajian, elaun kesesuaian misalnya merupakan antara elaun yang kita cadangkan untuk diberi pertimbangan sewajarnya.

“Selain itu, kajian itu turut melibatkan elaun berkaitan kesusahan polis berpangkat sarjan dan ke bawah kerana kita tahu kekangan kewangan yang dihadapi mereka,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu cadangan kerajaan dalam masa terdekat bagi membantu anggota polis berpangkat rendah.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dipetik sebagai berkata gaji, logistik dan keperluan anggota PDRM berpangkat rendah akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: