RM251,998 lesap diperdaya 'pegawai polis'

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Akibat terlalu takut didakwa kerana kononnya terlibat sindiket penggubalan wang haram, seorang warga emas di sini kerugian RM251,998 selepas menyerahkan wang simpanannya ke enam akaun sebagaimana diarahkan seorang 'pegawai polis'.

Mangsa yang berusia 60 tahun sebelum itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri daripada Pejabat Pos Laju Malaysia memaklumkan dia mempunyai barangan yang dikirim mengandungi kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Mangsa kemudiannya disambungkan panggilan ke Ibu Pejabat Polis Kuantan dan telah bercakap dengan anggota polis yang berpangkat sarjan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, 'anggota polis' terbabit memaklumkan mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Anggota polis itu meminta agar mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai perkara berkenaan memandangkan mangsa merupakan suspek dalam kes tersebut serta meminta mangsa beri kerjasama.

"Seterusnya mangsa disambung kepada pegawai polis yang berpangkat Inspektor yang memaklumkan suspek utama kes berkenaan telah ditangkap dan berkemungkinan besar mangsa juga terlibat dalam sindiket penggubalan wang haram ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Noorzainy berkata, mangsa diminta mengikut semua arahan pegawai polis tersebut dan tidak memaklumkan kepada sesiapa sepanjang proses siasatan kerana bimbang maklumat siasatan akan bocor.

"Mangsa hanya mengikut segala arahan dan telah mengalami kerugian sebanyak RM251,998.

Artikel Berkaitan:

"Selepas yakin dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan ini, wanita yang sebelum ini bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.