Tiada isu bawa pulang abu Chin Peng ke negara: Abdul Rahim

Rahim Noor - Foto Astro Awani
Rahim Noor - Foto Astro Awani
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk membangkitkan isu berkaitan abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang dibawa pulang ke negara selepas enam tahun kematiannya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, terdapat segelintir pihak yang menghentam dan berasa marah berkenaan hal itu tetapi sebenarnya ramai juga yang tidak tahu atau mungkin terlupa tentang Rundingan Damai Hadyaai 1989 yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989.

Beliau berkata, jika diteliti isi kandungan perjanjian tersebut pasti semua akan faham bahawa ia menamatkan segala pertentangan yang timbul antara kerajaan Malaysia dan PKM buat selama-lamanya.

Menurutnya, setelah perjanjian itu ditandatangani, maka tidak kira apa kedudukan ahli-ahli PKM dari yang setinggi-tingginya sehinggalah ke akar umbi mereka berhak untuk pulang ke Malaysia jika mereka mahu atau sebaliknya.

Katanya, disebabkan itu ada sesetengah anggota PKM yang pulang ke negara ini selepas perjanjian itu ditandatangani tetapi ada juga pemimpin seperti Abdullah CD, Rashid Maidin termasuk Chin Peng yang memilih untuk tidak pulang ke tanah air.

"Jadi tidak logiklah jika hal bawa abu Chin Peng pulang itu hendak dijadikan isu...jika jasad boleh pulang kenapa tidak abu?

"Tiada isu, malah jika tindakan diambil ke atas ahli keluarga Chin Peng kerana membawa balik abu bekas pemimpin itu ia boleh disifatkan sebagai kerja bodoh dan buang masa... Jika orang ramai, nak saman kerana ahli keluarga mereka ditembak mati oleh Chin Peng sewaktu zaman komunis dulu itu wajar kerana ia hak individu tapi jika perkara ini (bawa pulang abu) saya tak nampak relevannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, abu mayat Chin Peng dilaporkan dibawa pulang ke negara dan sebahagian abu pemimpin PKM itu ditabur di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan Banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahim berkata, beliau juga melihat isu ini hanya dibangkitkan oleh segelintir pihak atau orang ramai yang mungkin bersikap rasis atau mempunyai rasa perkauman yang menebal kerana menganggap Chin Peng sebagai seorang Cina yang melebarkan ajaran komunis.

"Tetapi kalau bercakap dari segi isu sebenar serta aspek keselamatan, komunisme itu sudah luput dan mati kerana dunia sudah lama menolak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan tidak pernah benar abu mayat dibawa pulang

Bawa balik abu penuhi permintaan terakhir Chin Peng