Naik taraf Terminal 1 Seremban guna dana pihak swasta

Teo Kok Seong
Teo Kok Seong
A
A
A

SEREMBAN – Cadangan menaik taraf Pusat Pengangkutan Terminal 1 di daerah ini yang berusia lebih 25 tahun akan menggunakan dana pihak swasta sepenuhnya.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) akan mengenal pasti syarikat yang kompeten, berkeupayaan dan berpengalaman luas dalam bidang berkaitan untuk mengendalikannya.

“Bangunan ini telah berusia lebih 25 tahun dan pelbagai kerosakan telah berlaku yang memerlukan penjagaan dan pembaikan yang lebih khusus.

"Antara masalah dihadapi adalah gangguan bekalan elektrik, kebocoran, masalah tempat letak kereta dan motosikal.

“Kerja-kerja naik taraf dan pembaikan perlu dibuat secara menyeluruh dan melibatkan jumlah peruntukan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ng Chin Tsai(DAP-Temiang) yang ingin mendapat penjelasan sejauh mana pelaksanaan cadangan naik taraf Terminal 1 sama ada melalui dana swasta atau kerajaan negeri pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurutnya, melalui kerjasama daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), MPS telah pun menerima beberapa cadangan untuk menaik taraf bangunan berkenaan.

Katanya, daripada cadangan yang diterima, kebanyakan syarikat hanya tertumpu kepada naik taraf Terminal Management System (TMS) sahaja merangkumi Terminal Operating System (TOS), Centralised Ticketing System (CTS) dan Public Information Display System(PIDS) berbanding naik taraf bangunan secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

“Pihak APAD berpendapat syarikat itu tidak dapat mengemukakan cadangan dengan lebih menyeluruh kerana pihak pengurusan Terminal 1 masih terikat dengan perjanjian sedia ada di antara MPS dan syarikat One Park Management (OPM) Sdn Bhd.

“Pada masa ini pihak OPM tidak mampu menyediakan serta menguruskan TMS seperti dikehendaki APAD.

"Pihak MPS sedang berbincang dengan OPM berkenaan perkara ini untuk dicari penyelesaian,” katanya.

Menurutnya, MPS juga ada menerima beberapa cadangan naik taraf keseluruhan bangunan namun ia tertakluk kepada perjanjian pengurusan sedia ada.

Beliau berkata, antara intipati cadangan berkenaan yang diterima ialah MPS tidak akan mengeluarkan sebarang kos bagi menaik taraf keseluruhan bangunan yang pada masa sama dapat meningkatkan hasil pulangan kepada MPS.

“Pada masa ini MPS sedang menyediakan spesifikasi yang terperinci dan kita berharap urusan menaik taraf Terminal 1 ini dapat direalisasikan,” katanya.