Rebut peluang miliki buku serendah RM1!

Pelbagai bahan bacaan yang sesuai untuk semua peringkat umur dijual sempena Pesta Buku Karangkraf 2019 di KB Mall.
Pelbagai bahan bacaan yang sesuai untuk semua peringkat umur dijual sempena Pesta Buku Karangkraf 2019 di KB Mall.
A
A
A

KOTA BHARU - Tawaran hebat menanti semua rakyat Kelantan untuk mendapatkan buku serendah RM1 dijual sempena Pesta Buku Karangkraf 2019 berlangsung selama empat hari di KB Mall.

Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku, Roziana Omar berkata, pesta buku tersebut bermula esok sehingga 1 Disember dengan kerjasama Syarikat Muda Osman (SMO) Sdn Bhd.

Menurutnya, orang ramai berpeluang menambah pelbagai koleksi peribadi dan juga membeli buku untuk persediaan persekolahan anak-anak tahun depan dengan mengunjungi pesta tersebut dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan buku dengan harga yang sangat murah kali ini. Kita turut menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus untuk bahan bacaan tertentu dan ia sangat berbaloi.

“Buku yang disediakan juga sesuai untuk semua peringkat umur. Semua ada di sini.

"Sempena cuti sekolah rebutlah peluang membelinya untuk kanak-kanak sehingga dewasa,” katanya hari ini.

Beliau berkata, berita baik buat peminat karya Ramlee Awang Mursyid apabila novel-novel beliau dijual dengan potongan harga sebanyak 25 peratus.

"Peminat karya Ramlee Awang Mursyid jangan lepas peluang keemasan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Roziana berkata, selain tawaran harga hebat, pengunjung juga bakal membawa pulang cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM10,000.

Sementara itu, Pengarah Urusan SMO, Ahmed Azim Othman berkata, lebih 10,000 judul buku disediakan sepanjang pesta tersebut yang mana ia merangkumi bacaan Islamik, novel dan juga persediaan persekolahan.

Katanya, sempena pesta itu juga, terdapat beberapa pengisian menarik antaranya, Tazkirah Bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani pada 30 November bermula jam 6 petang hingga 7 malam di Pentas Mini KB Mall.

Selain itu katanya, slot menarik 'Be A Grammar Champion by Teacher Norhaizan Mahusin' pula diadakan pada 29 dan 30 November selama 30 minit bermula 3.00 petang.

“Kita juga sediakan program Bersama Didi & Friend dan pertandingan mewarna.

"Orang ramai dijemput hadir kerana banyak program menarik dikhaskan bermula hari pertama pesta lagi,” katanya.

Ahmed Azim memberitahu, istimewanya kali ini, pembeli terawal akan berpeluang untuk mendapatkan karya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjudul Bicara Ini Demi Perpaduan yang ditandatangani beliau sendiri dengan harga RM20 berbanding RM27 harga asal.

“Selain novel kita juga memberikan harga yang berbaloi dengan potongan sehingga 30 peratus untuk al-Quran,” katanya.