Jangan terus hukum Kamarul

Hassan ( tengah) dan Kamarul ( dua dari kiri) sewaktu sidang media di luar IPD Pontian, malam tadi.
Hassan ( tengah) dan Kamarul ( dua dari kiri) sewaktu sidang media di luar IPD Pontian, malam tadi.
A
A
A

PONTIAN - “Baru disiasat takkan hendak dihukum,” kata Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim mengulas kenyataan kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Haris Fadzillah.

Hassan Karim yang juga peguam kepada Mohammad Kamarul ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Pontian kira-kira 11.00 malam tadi selepas proses mengambil keterangan ke atas anak guammnya itu berhubung kenyataan di Facebook yang dianggap memperlekeh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kenyataan yang turut menyebut tentang Pulau Kukup itu kemudiannya menjadi tular sebelum Mohammad Kamarul membuat permohonan maaf kepada seluruh kerabat Diraja Johor, kelmarin.

Menurut Hassan, Mohammad Kamarul perlu diberikan peluang dalam menjalankan tugasnya sebagai Ahli Majlis Daerah Pontian, selagi undang-undang belum memutuskan sama ada beliau bersalah atau tidak.

“ Perlu berlaku adil dan tidak tergesa-gesa. Ini adalah sebahagian daripada proses undang-undang.

“Pegang prinsip-prinsip PH yang disokong rakyat iaitu mahukan perubahan di negara ini, jangan dizalimi dari segi undang-undang.

“Ini adalah rakan kita dalam PH, biar Kamarul hadapi proses undang-undang dulu. Kertas siasatan pun belum sampai ke peguam negara,” katanya.

Katanya lagi, Mohammad Kamarul memberikan kerjasama yang baik sepanjang dirakam percakapan dan menyifatkan beliau sebagai individu yang cukup bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Petang semalam, media melaporkan kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, beliau akan membawa perkara itu untuk diperhalusi menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dalam masa terdekat.

Terdahulu, Mohammad Kamarul bersama beberapa pemimpin kompenan PH Parlimen Tanjung Piai tiba di IPD Pontian untuk diambil keterangan pada kira- kira jam 8 malam.