'Bukan kesilapan pertama, kerajaan perlu ambil tindakan tegas'

Bendera Malaysia dengan lima bintang dipaparkan menerusi skrin digital ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 kelmarin. (Gambar kecil: Asrullah Affendi)
Bendera Malaysia dengan lima bintang dipaparkan menerusi skrin digital ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 kelmarin. (Gambar kecil: Asrullah Affendi)
A
A
A

KUANTAN - Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan mengutuk sekeras-Kerasnya ketidakpekaan dan semangat kurang patriotik Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) berhubung kesilapan memaparkan Jalur Gemilang berbucu lima pada majlis perasmian salah satu kejohanannya kelmarin.

Ketua Penerangannya, Asrullah Affendi Abdullah berkata, walaupun perkara itu didakwa atas kecuaian pihak kontraktor teknologi maklumat yang dilantik dan permohonan maaf secara terbuka telah dibuat oleh MABA, beliau melihat isu itu amat sensitif kerana melibatkan identiti negara.

Menurutnya, timbul persoalan bagaimana sebuah badan sukan yang telah lama beroperasi di negara ini terlalu cuai sehingga tidak mengenali bendera negara sendiri ketika kejohanan sebesar itu.

"Kesilapan ini amat pelik dan seperti ada mesej tersembunyi yang cuba disampaikan pihak tertentu, justeru perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa.

"Sebagai badan NGO (badan bukan kerajaan) yang dinaungi anak-anak muda luar bandar, MBFM Wilayah Kuantan sendiri sentiasa cakna dan menitikberatkan perkara-perkara melibatkan bendera negara atau negeri sebelum memulakan sesuatu majlis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asrullah Affendi berkata, Jalur Gemilang adalah maruah dan identiti negara yang perlu dihormati dan dipertahankan.

"Kita lihat 'kesilapan' melibatkan bendera Malaysia ini bukan kali pertama berlaku dan seharusnya Kementerian Belia dan Sukan serta pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang amat tegas sebagai amaran kepada mana-mana badan sukan yang membuat penghinaan sebegini secara sengaja atau tidak sengaja.

"Kami mencadangkan mana-mana badan sukan yang mahu menjalankan sesebuah acara perasmian perlu mendapatkan kelulusan bahan paparannya daripada Kementerian Penerangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jalur Gemilang perlu dijaga dan dilindungi sepenuhnya, justeru sudah tiba masanya kerajaan membuat pindaan undang-undang sedia ada berkait bendera negara supaya ia tidak terus diperlekeh atau dihina oleh mana-mana pihak.

"MBPM Wilayah Kuantan juga berpandangan amat wajar mereka-mereka yang membuat penghinaan kepada bendera Malaysia dikenakan tindakan lebih berat bagi memastikan identiti negara itu tidak dipaparkan secara salah.

"Kami juga menyeru golongan muda yang bernaung di bawah badan-badan NGO supaya lebih patriotik dengan menghormati Jalur Gemilang.

"Isu ini nampak remeh dan biasa bagi pihak tertentu tetapi bagi kami ia perbuatan terlalu biadab dan memberikan kesan yang amat mendalam kepada maruah negara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bendera Malaysia bintang lima: MABA mohon maaf