X

Kindly register in order to view this article
!

NS pertimbang syarat pemandulan anjing

Kok Seong ketika menjawab soalan tambahan pada Sidang Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri boleh pertimbang untuk mensyaratkan pemilik anjing membuat pemandulan kepada haiwan itu seperti yang dilakukan di sesetengah negara sebagai salah satu cara mengatasi masalah anjing liar dan terbiar.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong (DAP-Bahau) bagaimanapun berkata, dasar itu jika mahu dilaksanakan akan mengambil masa dan sudah tentu tidak dipersetujui orang ramai.

“Untuk di negara asing ada syarat ditetapkan yang mana sesiapa mahu pelihara haiwan ternakan termasuk anjing perlu buat pemandulan sebelum diberi lesen.

“Itu yang boleh kita pertimbangkan. Tapi jika mahu laksanakan dasar itu, ia perlu ambil masa dan agak susah bagi orang ramai terima dasar sebegini kerana pemandulan haiwan libatkan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Mary Josephine Pritam Sing (DAP-Rahang), Datuk Abd Rahman Mohd Redza (BN-Linggi), Datuk Abdul Razak Said (BN-Gemas), Datuk Abdul Samad Ibrahim (BN-Seri Menanti) dan Datuk L Manickam (BN-Jeram Padang) ketika sesi pertanyaan lisan pada Sidang Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Terdahulu, semua wakil rakyat berkenaan meluahkan rasa bimbang terhadap isu anjing liar di kawasan masing-masing sebelum mengemukakan soalan berhubung tindakan kerajaan negeri dalam menangani masalah berkenaan.

Sementara itu, Kok Seong berkata, tanggungjawab menyelesaikan isu anjing terbiar merupakan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.

“Namun isu kelewatan berlaku kerana perlu sesuaikan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta 772 yang mana dalam akta itu telah ditetapkan tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan ikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Mengikut piagam pelanggan PBT perlu urus aduan dengan ambil tindakan dalam tempoh tiga hari selepas terima,” katanya.

Katanya, tiada yang lebih penting daripada menjaga keselamatan orang awam dan pada masa sama turut menjaga sensitiviti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!