Lelaki ditahan seludup ikan ke Langkawi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

LANGKAWI - Tindakan seorang lelaki membawa ikan segar dari Thailand untuk dipasarkan ke Pulau Langkawi gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kedah, Lily Rosalind berkata, penguat kuasa Maqis menahan sebuah bot tidak bernombor di pantai Tanjung Rhu dalam Operasi Landai di sekitar pantai Tanjung Rhu Langkawi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati individu tersebut membeli ikan dari Thailand untuk dipasarkan ke pasaran Langkawi.

"Pelbagai jenis ikan segar yang dianggarkan seberat 200 kilogram bernilai RM4,000 di serahkan kepada (Maqis) untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lily, perbuatan mengimport hasil perikanan tanpa permit yang sah menjadi kesalahan bawah Seksyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambah Lily, penahanan konsainan ini bertujuan mengawal dan mencegah kemasukan penyakit ikan yang boleh melumpuhkan industri perikanan negara.

"Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan yang mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya.

Artikel Berkaitan: