Terengganu mahu KBS pertimbang pemilihan acara angkat berat

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

KERAJAAN Terengganu memohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan cadangan Johor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang mahu menggugurkan separuh daripada acara sukan angkat berat.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pertimbangan itu wajar kerana 13 negeri bersetuju supaya semua 32 acara melalui 16 kategori berat badan dipertandingkan sebagaimana Sukma sebelum ini.

Menurutnya, persetujuan bersama tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal yang dipengerusikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara pada 17 November lalu di Johor Bahru.

“Tetapi pengerusi mesyuarat telah membuat beberapa keputusan sebaliknya untuk dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020 yang dijangka diadakan pada Januari depan.

“Iaitu sebanyak 16 pingat emas ditawarkan dengan lapan kategori berat dipertandingkan iaitu empat kategori lelaki dan empat kategori wanita.

“Setiap kategori mempertandingkan dua pingat emas iaitu acara snatch dan acara clean & jerk (sama seperti Sukma lepas),” katanya pada sidang media di lobi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Wan Sukairi berkata, Persatuan Angkat Berat Terengganu telah mengemukakan rayuan kepada KBS dan beliau sendiri akan membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat awal tahun depan berdasarkan beberapa justifikasi.

Antara justifikasi itu katanya adalah semua 13 negeri tidak bersetuju dengan kategori acara yang dicadangkan MSN Johor kerana acara itu tidak konsisten serta pelik iaitu kategori lelaki mempertandingkan empat kategori berat badan rendah manakala wanita pula pertandingkan empat kategori berat badan yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Sekretariat Sukma Johor juga memberi alasan pertambahan acara akan melibatkan penambahan kos tapi mengapa sukan kanu yang biasanya dipertandingkan 18 acara ditambah kepada 35 acara sedangkan kanu akan melibatkan kos pengurusan dan teknikal jauh lebih tinggi berbanding angkat berat,” katanya.

Sehubungan itu, Terengganu memohon agar kerajaan pertimbangkan semula keputusan pemilihan bagi acara-acara sukan angkat berat dan mencadangkan supaya semua acara dipertandingkan di Sukma 2020.