Promosi Taman Kerang sebagai zon budaya

Taman Kerang meliputi kawasan dari Hotel Shahzan Inn hingga ke Pokok Buluh dan asalnya ia tapak pasar lambak sebelum dinaik taraf sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2012.
Taman Kerang meliputi kawasan dari Hotel Shahzan Inn hingga ke Pokok Buluh dan asalnya ia tapak pasar lambak sebelum dinaik taraf sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2012.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bakal mempromosikan Taman Kerang sebagai sebahagian daripada zon budaya, seiring imej sepanjang Jalan Besar dan Jalan Mahkota, di sini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, langkah itu merupakan kesinambungan zon budaya ‘walking street’ yang diwujudkan di lorong pusat perniagaan, antara dua jalan itu.

Menurutnya, bagi tujuan itu beberapa perancangan diatur MPK termasuk penjenamaan barangan kraftangan, cenderamata, songket, tenunan dan produk makanan yang dijual di kawasan tersebut.

Selain itu katanya, MPK turut menggalakkan pembukaan kedai bertemakan 'hipster' dan butik di kawasan zon berkenaan.

“Laluan pejalan kaki sepenuhnya akan dibina di Jalan Taman yang menghubungkan Taman Kerang ke Puncak Tok Gajah.

“Turut dirancang, mewujudkan pusat fisioterapi dengan menaik taraf kemudahan sedia ada di situ, selain menambah pokok-pokok yang melambangkan identiti Kuantan, arca, turapan dan kemudahan tempat duduk untuk tarikan dan kemudahan pengunjung,” katanya.

Norkamawati berkata, ketika ini beberapa aktiviti diadakan sekitar Taman Kerang antaranya aktiviti jualan sebelah pagi dan ‘car boot sale’pada waktu malam selain menjadi lokasi riadah keluarga.

Katanya, MPK sentiasa memantau bagi memastikan lokasi itu dan kemudahan disediakan berada dalam keadaan baik bagi keselesaan pengunjung.

Artikel Berkaitan:

“Kita sentiasa membuat pemantauan terutama melibatkan isu keselamatan, vandalisme dan aktiviti yang boleh menjejaskan imej taman tersebut.

“Peniaga tidak berlesen dan peniaga yang meninggalkan peralatan perniagaan serta sampah selepas tamat berniaga boleh dikenakan tindakan termasuk kompaun dan sitaan manakala bagi kes vandalise, pelaku boleh dikenakan tindakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah.

“Jika sambit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara,” katanya.

Beliau berkata, pembuangan sampah , menconteng pintu tandas dan kecurian elektrik oleh peniaga antara isu sering berlaku.

“Justeru pemantauan berkala sentiasa dibuat oleh bahagian penguatkuasa dan keselamatan MPK bagi membendung isu-isu yang boleh menjejaskan imej lokasi tumpuan itu,” katanya.