FAM kena ikhtiar bawa pulang Cools

Cheng Hoe diminta segera melihat dan menilai corak permainan Cools.
Cheng Hoe diminta segera melihat dan menilai corak permainan Cools.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari jalan terbaik untuk memastikan pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia kelahiran Sarawak, Johan Dion Cools dapat beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan kesudiaan Cools untuk menyarung jersi negara adalah petanda baik meskipun perkara itu mungkin mengambil masa beberapa tahun.

"Kalau betul dia nak main bersama pasukan Malaysia, ia sangat bagus dan FAM kena ikhtiarlah bawa dia balik. Pasukan negara perlu idamkan pemain yang bagus barulah kita boleh naik.

"Perkara ini (mengambil pemain berdarah kacukan) untuk berada dalam skuad negara adalah tindakan tepat sementara menunggu pemain bawah 19 tahun yang sedang menyinar ketika ini untuk betul-betul sesuai berada dalam skuad," senior katanya kepada Sinar Harian

Menurutnya, ramai yang mungkin tidak bersetuju, namun tidak salah untuk mempunyai pemain kacukan dalam pasukan.

"Ramai yang kurang setuju nak ambil ramai pemain kacukan dalam pasukan negara. Abaikan mereka semua ini. Kita tengok pasukan gergasi lain seperti Jepun dan Thailand. Mereka juga pernah mempunyai ramai pemain kacukan dalam pasukan mereka. Ia tidak salah," katanya.

Cools pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia kelahiran Sarawak yang mewakili kelab di Eropah.
Cools pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia kelahiran Sarawak yang mewakili kelab di Eropah.

Sathianathan menasihati pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk segera melihat dan menilai corak permainan Cools.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya, kehadiran pemain kacukan yang bermain di pasukan Eropah ini sudah tentu akan memberikan nilai tambah kepada Harimau Malaya. Kalau dah bermain di Club Brugge, sudah tentu dia seorang pemain yang bagus tetapi terpulang pada Cheng Hoe.

"Jika dia mahu pemain yang mampu memperkuatkan pasukan, dia perlu pergi menilai pemain itu sekarang dan sarankan kepada pihak pengurusan untuk dapatkan Cools," katanya.

Sebelum ini, Cools melalui Instagram miliknya seolah-olah memberikan petanda mahu mewakili Harimau Malaya selepas berkongsi gambarnya memakai jersi pasukan negara.

Selain daripada mewakili kelab di pentas Eropah, Cools yang beraksi di posisi pertahanan kanan juga pernah menyertai pasukan muda Belgium, namun sehingga kini belum lagi pernah mendapat panggilan daripada Roberto Martinez bersama skuad kebangsaan Belgium.

FAM melalui Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam pula memberitahu, persatuan itu tidak mahu terburu-buru kerana perlu meneliti beberapa perkara sebelum boleh memanggil pemain berusia 23 tahun itu.