Nafkah ibu bapa atau isteri, siapa perlu diutamakan?

WALAUPUN nafkah isteri dan anak-anak perlu diutamakan selepas diri sendiri, tetapi jangan sesekali mengabaikan kebajikan ibu bapa kita.
WALAUPUN nafkah isteri dan anak-anak perlu diutamakan selepas diri sendiri, tetapi jangan sesekali mengabaikan kebajikan ibu bapa kita.
A
A
A

SEMUA orang cakna bahawa tanggungjawab memberikan nafkah terletak pada bahu seorang lelaki yang menjadi suami atau ketua keluarga.

Menjadi persoalannya, apakah keutamaan dalam pemberian nafkah itu jika lelaki berkenaan masih mempunyai orang tua yang perlu disantuni.

Antara nafkah terhadap isteri dan ibu bapa, mana yang perlu diutamakan?

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, fahamilah bahawa Islam ada menyediakan panduan turutan nafkah mengikut keutamaan.

Sabda Rasulullah SAW: "Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autar menyebut: "Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibu bapa."

Ia jelas menunjukkan bahawa menjadi tanggungjawab ketua keluarga untuk mendahulukan isteri dan anak-anaknya dalam pemberian nafkah berkenaan.

Bagaimanapun, dalam keadaan darurat iaitu keadaan yang mana ibu bapa memerlukan bantuan seperti penyediaan ubat-ubatan, rawatan dan makan minum yang menjadi asas kepada kehidupan, maka ketika itu, si anak tadi perlulah mendahulukan orang tuanya demi kesinambungan kehidupan mereka.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, dalam perkara tersebut, semua anak-anak ibu atau bapa perlu ada kesefahaman dalam mengambil tanggungjawab.

Menjaga, membantu dan berkhidmat perlu buat dua insan yang melahirkan serta membesarkan mereka.

Dengan cara itu, ia tidaklah terbeban kepada seorang anak sahaja, sedangkan yang lain pula terlepas tangan.

Apapun, jangan sesekali kita menganggap bantuan kepada ibu bapa sebagai beban.

Sebaliknya, ia ihsan yang wajib kita tunaikan kerana itu merupakan hak orang tua kita.

Firman ALLAH SWT: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra', ayat 23)

Selagi hayat dikandung badan, jangan sesekali culas tentang bab nafkah dan taatlah kepada kedua ibu bapa.

Berdoalah semoga ALLAH SWT mempermudahkan urusan kita dalam memberikan nafkah kepada isteri, anak-anak dan orang tua yang banyak berjasa kepada kita.

(Sumber: Al-Kafi #1428: Antara Nafkah Isteri dan Ibu Bapa: Mana perlu diutamakan? Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)