Adun bantu selesai isu pembinaan Masjid Saujana Puchong

Siti Mariah ketika mengadakan perbincangan dengan JKPPMSP sebelum ini.
Siti Mariah ketika mengadakan perbincangan dengan JKPPMSP sebelum ini.
A
A
A

PUCHONG - Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Saujana Puchong (JKPPMSP) berbesar hati di atas keprihatinan Adun Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud bagi menyelesaikan isu bantuan dana pembinaan masjid berkenaan.

Setiausaha JKPPMSP, Hasree Mohamed berkata, menerusi mesyuarat yang berlangsung di pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor pada 3 Januari lalu, Siti Mariah menyatakan kesediaan beliau untuk membantu bagi membuat permohonan bantuan dana kepada pejabat Menteri Besar Selangor.

Hasree berkata, keprihatinan yang ditunjukkan oleh Siti Mariah bagi menyelesaikan isu tersebut memberikan semangat baharu kepada JKPPMSP untuk terus giat mengadakan aktiviti untuk mengumpul dana buat masjid berkenaan.

"Dalam mesyuarat di ICU pada 29 November tahun lalu, satu surat kuasa bagi arahan pelaksanaan projek tahun 2018 yang diluluskan sebanyak RM3 juta telah diserahkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.

[ARTIKEL BERKAITAN: Masjid Saujana Puchong dijangka dibina Julai depan]

"Dengan kelulusan dan jumlah kutipan yang terkumpul setakat ini, JKPPMSP telah memenuhi salah satu syarat kelulusan pembinaan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) di mana kerja-kerja awal tapak pembinaan hanya boleh dilaksanakan sekiranya telah memperolehi 50 peratus daripada kos pembinaan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, satu surat oleh ICU Selangor tular di media sosial menyatakan bahawa kerajaan melalui Kementerian Kewangan memutuskan supaya projek yang masih belum dilaksanakan ditangguhkan pelaksanaannya bagi memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan pelan rasionalisasi.

Di samping itu, surat berkenaan turut menyatakan bahawa kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkan peruntukan bagi pembinaan masjid tersebut yang sudah diluluskan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, semalam JKPPMSP memaklumkan bahawa projek pembinaan berkenaan dijangka akan berjalan semula pada Julai depan selepas proses permohonan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling selesai.

Difahamkan, JKPPMSP telah mengemukakan rayuan berhubung perkara itu sebelum ini dan peruntukan RM3 juta berkenaan akan disambung semula bagi merealisasikan pembinaan masjid yang digerakkan sejak tahun 2013 itu.

Mengulas lanjut, Penasihat Masjid Daerah Petaling merangkap Ketua Kampung Batu 14 Puchong, Datuk Mohd Sharif Iskandar berkata, pihaknya juga akan menyerahkan salinan pewartaan tanah seluas tujuh ekar yang diperolehi pada tahun 2016 lalu dan dokumen-dokumen berkaitan kepada pejabat Adun Seri Serdang untuk dijadikan rujukan bagi tindakan susulan selepas ini.

Tambahnya, JKPPMSP amat berterima kasih di atas keprihatinan Siti Mariah yang membantu bagi membuat permohonan kepada pejabat Menteri Besar Selangor.

"Pihak Adun ada menyatakan bahawa bajet negeri agak terhad bagi tahun 2019. Dan kemungkinan kami perlu menunggu bajet bagi tahun 2020.

"Walaupun begitu, beliau akan berusaha memohon tambahan dana dari kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Ketua Keselamatan JKPPMSP, Sahidan Dolmat berkata buat masa ini pihaknya sedang menunggu tarikh yang ditetapkan oleh JKR bagi mengadakan mesyuarat pelaksanaan kali pertama untuk tahun ini.

Katanya, Ketua Perunding Arkitek yang dilantik juga sedang giat menyiapkan dokumen bagi kelulusan kebenaran merancang (KM) oleh MPSJ.