X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah rugi RM65,000 hasil royalti bahan batuan

Mohamad menunjukkan had sempadan pencerobohan tanah untuk mengambil pasir ketika Ops Tiris di Kampung Kepala Batu, Pelubang hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUBANG PASU - Kerajaan Negeri Kedah kerugian kira-kira RM65,000 hasil royalti bahan batuan apabila kawasan seluas 0.443 hektar di sekitar kuari pasir darat yang beroperasi di Lubok Batu dekat sini diceroboh untuk kerja pengorekan pasir bagi mengaut keuntungan semata-mata.

Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Mohamad Che Nai berkata, kuari itu sememangnya beroperasi secara sah di lot 565 namun pengusaha kuari berkenaan telah menceroboh ke lot 566 yang tidak dibenarkan pihaknya untuk kerja mengorek pasir di situ.

"Kami membuat pengukuran bahawa jarak di antara stockpile dengan tapak yang dikorek itu lebih kurang 35 meter. Bila kita membuat pengukuran, mereka telah pun mengorek seluas kawasan lebih kurang 0.443 hektar daripada keseluruhan kawasan lot 566 seluas 0.8223 hektar," katanya pada sidang media selepas Ops Tiris hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pengusaha kuari itu telah pun mengemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kubang Pasu untuk melakukan kerja pengorekan pasir di lot 566 tetapi tidak dibenarkan pihaknya sehingga mendapat kelulusan daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu.

"Kami ingin mendapat komen daripada pihak Alam Sekitar dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), dan belum dapat komen ini lagi, pihak pengusaha telah membuat kerja-kerja (mengorek pasir) ini dan menyebabkan berlakunya keruntuhan tanah," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, operasi hari ini dijalankan selepas mendapat maklumat daripada penduduk di sekitar situ yang mengadu rumah mereka mengalami keretakan dipercayai disebabkan kerja pengorekan pasir di kawasan lot 566 berkenaan.

"Jadi, dalam operasi ini kami mengambil tindakan menghentikan proses pengorekan dan keduanya mengambil tindakan untuk menyita semua jentera yang ada di sini iaitu empat ekskavator dan juga pam yang berada dalam air," katanya.

Mohamad berkata, pegawai penyiasat PTG akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pengusaha sama ada dibawa ke mahkamah ataupun dikenakan kompaun.

Katanya pemilik kuari itu merupakan individu bergelar Datuk berumur lingkungan 60-an manakala keuntungan hasil jualan pasir daripada kawasan diceroboh itu sahaja dianggarkan RM500,000. - Bernama