Parlimen setuju lanjut tempoh isytihar harta hingga 5 Disember

Liew Vui Keong- BERNAMA
Liew Vui Keong- BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan harta bagi Ahli Parlimen sehingga 5 Disember tahun ini.

Usul bagi melanjutkan tempoh pengisytiharan harta itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

"Sesuai dengan prinsip akauntabiliti dan juga ketelusan, semua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk harta isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam akuan berkanun.

"Akuan berkanun itu hendaklah dikemukakan kepada Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul itu disetujukan dan disalin kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Majlis buat ketetapan melanjutkan tarikh bagi mengemukakan akuan berkanun pengisytiharan harta ahli Dewan Rakyat adalah tidak lewat daripada hari Khamis, 5 Disember ini," katanya ketika mengemukakan usul itu yang kemudian mendapat persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamsun Baharin Mohd Jamil dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu salinan pengisytiharan harta daripada Ahli Parlimen pembangkang, meskipun tarikh berbuat demikian telah tamat hampir sebulan lepas.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lepas sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing, dengan semua Ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta masing-masing selain isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam akuan berkanun.

Akuan berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul itu dipersetujui dan salinannya kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Artikel Berkaitan:

Senarai nama Ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta sahaja akan dipaparkan pada portal berkenaan selama tempoh tiga bulan dari tarikh penerimaan akuan berkanun oleh SPRM.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Jika Ahli Parlimen didapati membuat perakuan tidak benar, individu itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda. - Bernama