Sabah perlu bersedia dengan pemindahan ibu negara Indonesia

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah khususnya sektor perkhidmatan awam dan swasta di negeri itu wajar bersiap sedia dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Bekas ketua setiausaha negara itu berkata, pemindahan ibu negara Indonesia itu dijangka membawa kemakmuran ke wilayah Kalimantan yang sekali gus diharap akan dapat membawa tempias kemakmuran ke Sabah dan Sarawak.

Ahmad Sarji berkata, pemindahan ibu negara sekali gus pusat pentadbiran Indonesia ke Kalimantan Timur yang dijangka mulai tahun 2024 itu akan turut sama menarik pelaburan dan pelancong asing ke Kalimantan.

"Justeru, pergerakan pekerja dan juga barangan akan berlaku bukan sahaja dalam Republik Indonesia bahkan turut memberi kesan kepada negara-negara berhampiran. Antara impak pergerakan pekerja yang mungkin berlaku adalah berkenaan demografi pekerja asing di Sabah.

"Penjawat awam perlu dibekalkan dengan sumber, kemahiran dan teknologi terkini untuk mengawal sempadan di samping mengekalkan hubungan diplomatik yang baik," katanya ketika berucap pada Persidangan Perkhidmatan Awam Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah hari ini.

Majlis disempurnakan yang Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu turut dihadiri Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai serta lebih 1,000 penjawat awam negeri.

Ahmad Sarji berkata, peluang untuk syarikat dari Sabah untuk turut sama membangunkan ibu negara Indonesia yang baharu itu juga berkemungkinan ada memandangkan Malaysia mempunyai pengalaman dalam memindahkan pusat pentadbirannya dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

"Impak pertumbuhan wilayah ini akan menjadi lebih besar sekiranya wujud jalinan perhubungan darat, udara dan maritim yang baik antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Artikel Berkaitan:

"Kesan ini boleh diperhatikan menerusi kemasukan komuniti peniaga dan pelancong yang akan menjadikan bandar-bandar di Sabah seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Semporna sebagai pintu masuk atau tempat transit mereka sebelum meneruskan perjalanan ke ibu kota Indonesia yang baharu itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Sarji berkata, penjawat awam perlu terus menyesuaikan prosedur atau proses dalam suasana persekitaran yang kompetitif selain sentiasa bersedia meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran terutama dalam bidang teknologi maklumat.

"Ini bagi memastikan matlamat Kecekapan Digital Kerajaan dan Kesediaan Keupayaan diperkenalkan kerajaan dalam perkhidmatan awam iaitu memberi penyampaian digital terbaik kepada pelanggan dapat direalisasikan," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie ketika berucap merasmikan majlis itu berkata penjawat awam khususnya di Sabah adalah tulang belakang serta tunjang penting dalam menterjemahkan segala dasar serta aspirasi kerajaan untuk rakyat sekali gus memastikan pembangunan dan kemajuan negara dapat terus dipacu ke tahap lebih tinggi. - Bernama