Tuah hanya dua murid Tahun 1

Idris dan Sok Pui memantau proses PdPC dalam kelas Tahun Satu SJKC Jabor yang cuma mempunyai dua murid.
Idris dan Sok Pui memantau proses PdPC dalam kelas Tahun Satu SJKC Jabor yang cuma mempunyai dua murid.
A
A
A

KEMAMAN - Menjadi hanya dua murid tahun satu yang mendaftar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jabor di sini, memberi kelebihan kepada murid terbabit kerana dapat berdamping rapat dengan guru di dalam kelas.

Lawatan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin ke sekolah itu semalam mendapati, dua murid terbabit, Tan You Hong Jing dan Muhammad Fakhrullah Hanif Mohd Khairul Faizul sangat akrab dengan guru-guru mereka.

Biarpun cuma mereka berdua di dalam kelas, suasananya sama seperti bilik darjah yang mempunyai ramai murid kerana You Hong Jing atau mesra dipanggil Jing dan Muhammad Fakhrullah Hanif (Hanif) sangat aktif bertanya.

Guru Besar SJKC Jabor, Ng Sok Pui berkata, bilangan murid tahun satu cuma dua orang membolehkan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) dijalankan bersemuka antara guru dan setiap murid.

“Dengan PdPC secara bersemuka, sentuhannya kepada kedua-dua murid ini akan lebih mendalam.

“Bilangan murid tahun satu ini yang hanya dua orang juga mudahkan pihak sekolah memantau gerak-geri mereka,” katanya.

Menurutnya, SJKC Jabor dikategorikan sebagai sekolah kurang murid dan hanya mempunyai seramai 17 murid dari tahun satu hingga lima pada tahun ini.

Daripada 17 murid itu, lima murid berada di tahun lima, seorang murid tahun empat, enam murid tahun tiga, tiga murid tahun dua dan dua murid tahun satu.

Artikel Berkaitan:

Seramai 12 daripada murid berkenaan berketurunan Melayu dan lima lagi Cina dengan jumlah gurunya pula seramai 10 orang.

SJKC Jabor tidak mempunyai murid tahun enam pada sesi persekolahan tahun ini.
SJKC Jabor tidak mempunyai murid tahun enam pada sesi persekolahan tahun ini.

Sok Pui berkata, SJKC Jabor tidak mempunyai murid tahun enam kerana tidak menerima kemasukan murid tahun satu pada 2013.

Susulan itu, katanya, SJKC Jabor menjadi satu-satunya sekolah di Kemaman yang tidak menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris, Nor Faizati Kamarudin berkata, dua murid tahun satu berkenaan saling membantu ketika proses PdPC.

“Contohnya semasa mengajar, jika Jing tak faham perkataan bahasa Inggeris yang saya gunakan dan saya terjemah ke dalam bahasa Melayu, Hanif tolong terangkan kepadanya. Begitu juga sebaliknya.

“Mereka berdua sangat aktif dalam kelas, paling mereka suka menyanyi dan aktiviti yang ada banyak pergerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Jing berkata, dia gembira belajar di sekolah itu kerana guru sentiasa berada dekat dengannya.

“Seronok belajar, cikgu ajar saya sampai saya faham. Saya suka subjek Bahasa Cina dan saya juga ajar Hanif kalau dia tak tahu perkataan bahasa Cina,” kata anak kepada pekebun kelapa sawit ini yang bercita-cita mahu menjadi pegawai bomba.

Hanif pula berkata, bahasa Cina mudah dipelajari dan dia kini sudah tahu banyak perkataan.

“Memang best sekolah kat sini, cikgu ajar macam-macam dan kawan baru saya, Jing juga tolong saya kalau saya tak faham,” katanya.