Saya kenal Ikhwan Zaidel ketika tunai umrah, kata saksi ke-17

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A
KUALA LUMPUR - "Saksi ke-16 beritahu saya tentang komisen RM10 juta di mana syarikat saya dan rakan akan terima RM1 juta dalam penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak kepada Felda,” kata saksi ke-17, Azizi Abd Wahab dalam perbicaraan kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta dihadapi bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Azizi berkata, dia mengenali Ikhwan Zaidel yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) semasa mengerjakan umrah sekitar Julai 2013.

Ketika itu katanya, Ikhwan mahu menjual MPHS yang dinilai RM180 juta.

“Saya cadangkan kepada beliau, kenapa tidak cuba syarikat ‘government link company’ (GLC) seperti Tabung Haji dan Felda kerana mereka sebelum ini mempunyai hotel-hotel.

“Beliau tanya kalau saya kenal sesiapa di Tabung Haji atau Felda. Saya cakap saya kenal seseorang di Felda iaitu pegawai khas kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Zahid Md Arip,” katanya.

Selepas itu Azizi berkata, Ikhwan memaklumkan untuk melantiknya sebagai ejen penjualan Hotel MPHS dan perkara itu akan dibawa kepada ahli lembaga pengarah di GAPSB jika dipersetujui pihak berkenaan.

Disebabkan itu katanya, pada 11 Oktober, dia dan Mazeed Abdul Wahab menubuhkan Syarikat JVESB sebagai ejen penjualan MPHS dengan pegangan ‘share’ masing-masing sebanyak 50 peratus.

Sebelum itu bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi, Ikhwan Zaidel mengakui tidak merekod tarikh dan masa bagi setiap urusan pemberian RM3.9 juta kepada bekas Pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad sebagai balasan urus niaga Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak pada 2014.

Ikhwan mengakui melakukan tujuh kali perjumpaan dengan bekas pegawai khas Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip dan kesemua pertemuan itu tidak direkodkan atas dasar kepercayaan.
Artikel Berkaitan:


Saksi ke-16 ini memaklumkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa.

Salehuddin: Kamu sebagai seorang peniaga, kamu fikir RM100,000 adalah wang yang besar, tetapi kami tidak catat?

Ikhwan: Ya

Salehuddin: Maafkan saya, tapi hanya orang gila tidak catat urusan jika urusniaga capai beratus ribu. Walaupun kamu ada peluang buat pengesahan dengan Isa, tapi kamu tak buat, kamu tak catat.

Zahid yang kini setiausaha politik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini didakwa menjadi perantara bagi Ikhwan dan Mohd Isa.

Salehuddin juga tidak berpuas hati dengan keterangan Ikhwan dan mendakwanya berbohong kepada mahkamah.

Beliau berkata demikian lada hari ke-11 perbicaraan kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta dihadapi Mohd Isa bagi pembelian MPHS di Kuching, Sarawak di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung pagi esok.