X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa, anak saudara dalang samun kilang tembaga

Zainol (tengah) menunjukkan tembaga yang dirampas bersama sebuah lori daripada suspek.
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki bersama anak saudara yang berusia 30 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah kilang membuat tembaga di Kawasan Perindustrian Perai.

Kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di Kebun Sireh, Bukit Mertajam di Seberang Perai Tengah, Jumaat lalu.

Suspek utama berusia 37 tahun itu berhenti secara sukarela pada 22 Oktober lalu sebagai juruteknik kilang tersebut.

Polis juga merampas sebuah lori bersama 200 kilogram tembaga yang masih belum dijual serta wang hasil jualan tembaga bernilai RM7,900.

Dipercayai, lori tersebut dipinjam oleh suspek utama daripada kenalannya untuk memudahkan mengangkut barang yang disamun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, susulan daripada penahanan dua saudara itu, polis menahan tiga lelaki lain termasuk seorang warga Myanmar.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pemilik kedai barang lusuh ditahan bersama pekerjanya warga Myanmar yang berusia 28 tahun.

"Kita turut menahan seorang pengawal keselamatan berusia 23 tahun yang dipercayai bersubahat pada malam kejadian samun tersebut. Suspek utama bertindak menjual tembaga yang disamun kepada kedai barang lusuh tersebut dengan harga RM19 hingga RM20 sekilogram berbanding harga pasaran RM30 sekilogram.

"Pemilik kedai barang lusuh itu tahu bahawa suspek menjual barang curi kerana mereka sering menjual kepadanya. Sementara itu, pengawal keselamatan itu pula disyaki memberi tip kepada kedua-dua suspek utama selain bertindak sebagai pemantau ketika kejadian samun dilakukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini tadi.

Zainol menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
Zainol menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.

Tambahnya, kumpulan itu dipercayai terlibat empat kes samun di kilang milik pelabur dari Taiwan yang dibuka sejak 10 tahun itu iaitu dua pada 2016 dan dua pada tahun ini.

"Tiga kes samun dilakukan ketika suspek utama masih bekerja di kilang tersebut. Suspek utama dipercayai mahir dalam selok-belok kilang tersebut dan itu memudahkan dia menjalankan kegiatannya itu. Jumlah kerugian bagi keempat-empat kes melibatkan RM200,000.

"Siasatan awal mendapati, kumpulan ini tidak terlibat dengan kes samun di kilang lain. Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kini direman tujuh hari bermula 23 hingga 29 November ini," katanya.

Zainol berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian samun oleh dua lelaki bertopeng di sebuah kilang membuat tembaga di Kawasan Perusahaan Perai pada jam 12 tengah malam pada 17 November lalu.

"Dalam kejadian itu dua lelaki tersebut telah masuk ke pos pengawal lalu memukul dua pengawal keselamatan menggunakan batang paip PVC sebelum mengikat mereka dengan pengikat kabel. Suspek turut mengambil telefon bimbit mangsa.

"Suspek kemudiannya membuka pintu utama kilang serta membawa masuk sebuah lori sebelum mengambil gelungan tembaga seberat 2,000 kilogram bernilai RM70,000 dan melarikan diri dengan kenderaan tersebut.

"Bagaimanapun dua pengawal keselamatan tersebut berjaya melepaskan diri lalu menghubungi ketua keselamatan kilang. Satu laporan polis dibuat oleh pengurusan kilang berhubung kejadian itu," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata tajam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus